PETALING JAYA – Sebuah helikopter Flying Doctor Service (FDS) yang didakwa melakukan pendaratan cemas di kawasan tanah lapang bersebelahan Perumahan Sri Pertiwi, berhampiran Econsave Kidurong, Bintulu, Sabah adalah tidak benar.
Sebaliknya, pendaratan helikopter itu merupakan sebahagian daripada latihan pendaratan.
Perkara itu disahkan menerusi laporan verifikasi oleh Bilik Gerakan Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu.
Menurut laporan itu, helikopter berkenaan dikendalikan oleh syarikat pemiliknya sendiri bagi tujuan penerbangan ke Miri.
“Pendaratan yang disaksikan orang awam di lokasi tersebut adalah sebahagian daripada latihan pendaratan atau landing exercise dan bukannya satu insiden kecemasan.
“Kejadian itu tidak melibatkan operasi mahupun kakitangan kesihatan FDS,” katanya.
Dalam pada itu, tiada mangsa atau kecederaan dilaporkan, manakala latihan pendaratan berkenaan berjalan lancar dalam keadaan terkawal.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat. – KOSMO! ONLINE
















