Rosmah

Injunksi Mareva: 1MDB, 10 syarikat berjaya dalam rayuan isu penggunaan afidavit tambahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bersama 10 syarikat lain berjaya dalam rayuan di Mahkamah Rayuan hari ini berhubung penggunaan afidavit tambahan milik seorang wanita dalam injunksi Mareva terhadap Datin Seri Rosmah Mansor.

Injunksi mareva adalah perintah sementara yang mengekang defendan daripada melupuskan aset sehingga keputusan dicapai.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Dr. Alwi Abdul Wahab selepas membenarkan rayuan 1MDB dan 10 syarikat terbabit selaku perayu.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Ismail Brahim dan Datuk Leonard David Shim.

Hakim Leonard ketika membaca penghakiman itu berkata Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila mendapati keadaan luar biasa diperlukan sebelum syarikat-syarikat itu boleh dibenarkan untuk mengemukakan afidavit tersebut.

​Beliau berkata, tiada peruntukan di bawah Kaedah-Kaedah Mahkamah yang menghendaki pemohon membuktikan keadaan luar biasa apabila memohon lanjutan masa.

​”Mahkamah juga mendapati syarikat-syarikat itu telah memfailkan permohonan mereka pada 20 Jun tahun lalu, sebelum hujahan bertulis dalam prosiding injunksi selesai pada 18 Julai. Kelewatan kira-kira dua bulan setengah dalam menyediakan afidavit itu telah dijelaskan dengan memuaskan.

​”Shabnam (seorang warga Singapura, Shabnam Naraindas Daswani) yang pada mulanya dinamakan sebagai defendan kedua dalam saman itu, hanya bersetuju memberikan keterangannya selepas syarikat-syarikat berkenaan menghentikan tuntutan terhadapnya melalui perintah persetujuan pada 9 April tahun lalu.

​”Afidavitnya, yang merangkumi 319 muka surat dalam sembilan jilid, mengandungi invois, surat-menyurat dengan vendor barangan mewah, gambar-gambar serta komunikasi melibatkan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, yang lebih dikenali sebagai Jho Low, dan Eric Tan.

“Dokumen-dokumen itu juga merangkumi butiran pembayaran bagi barangan mewah melalui entiti luar pesisir yang didakwa menggunakan dana yang diselewengkan daripada 1MDB,” katanya.

Mahkamah juga menyatakan keterangan berkenaan juga boleh digunakan untuk mencabar pembelaan Rosmah bahawa barangan mewah terbabit adalah hadiah daripada pihak ketiga.

Penghakiman lanjut turut menyatakan, ​mahkamah mendapati bahawa membenarkan afidavit itu tidak akan menyebabkan prejudis yang ketara kepada Rosmah kerana beliau akan diberikan masa yang mencukupi untuk meneliti dan menjawab kandungannya.

Dalam prosiding hari ini, perayu diwakili peguam Datuk Lim Chee Wee, Nathalie Ker dan Henna Sangvhi manakala Rosmah diwakili peguam Datuk Rajan Navaratnam dan Sheena Sebastian.

​Pada 10 November tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan 1MDB dan 10 syarikat itu untuk menggunakan afidavit milik warga Singapura, Shabnam Naraindas Daswani, bagi menyokong permohonan injunksi Mareva mereka.

Susulan keputusan Mahkamah Tinggi itu, 1MDB dan 10 syarikat tersebut kemudian memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

1MDB sebelum ini memohon mahkamah menerima afidavit Shabnam sebagai sokongan kepada permohonan membekukan aset milik Rosmah melalui injunksi Mareva.

Saman yang difailkan pada 9 Mei 2024 itu melibatkan 1MDB dan lima anak syarikatnya, iaitu 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited, Global Diversified Investment Company Limited serta SRC International Sdn Bhd.

Lima lagi syarikat terlibat ialah Affinity Equity International Partners Limited, Alsen Chance Holdings Limited, Blackrock Commodities (Global) Limited, Blackstone Asia Real Estate Partners Limited dan Brightstone Jewellery Limited.

Kesemua plaintif memohon perintah mahkamah supaya Rosmah membayar sebanyak AS$346,010,489 atau jumlah lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Mereka turut memohon pengisytiharan bahawa plaintif pertama hingga keenam adalah pemilik sah barangan mewah yang didakwa berada dalam milikan Rosmah.

Pada peringkat awal, saman itu menamakan Rosmah dan Shabnam masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua. Bagaimanapun, pada April tahun lepas, 1MDB bersama syarikat terbabit menarik balik saman terhadap Shabnam.

Terdahulu pada September lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menetapkan 7 Januari tahun depan untuk mendengar permohonan injunksi Mareva itu.

​Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Muhammad Adam @ Edward Abdullah, yang menetapkan tarikh tersebut, berkata mahkamah juga akan menyampaikan keputusannya mengenai permohonan injunksi itu pada hari yang sama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN