Pertandingan Nyanyian Borneo berlangsung pada 6 hingga 8 November lalu di Sabah International Convention Centre (SICC).

Nyanyian Borneo martabat warisan seni suara etnik Sabah, Sarawak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pertandingan Nyanyian Borneo 2026 menjadi platform memartabatkan warisan seni suara dan budaya masyarakat etnik Sabah dan Sarawak menerusi penghayatan lagu tradisional serta bahasa ibunda.

Program anjuran GRISM EVENTS & CO yang berlangsung selama tiga hari bermula 6 hingga 8 November lalu di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, turut memberi peluang kepada bakat tempatan mengetengahkan kebolehan dalam bidang seni persembahan.

Penganjuran tersebut bukan sekadar pertandingan nyanyian, sebaliknya menjadi usaha memelihara khazanah muzik tradisional masyarakat Borneo agar terus dihargai dan diwarisi generasi muda.

Menerusi pertandingan itu, peserta berpeluang mempersembahkan lagu-lagu yang mencerminkan identiti, keunikan bahasa serta kepelbagaian budaya masyarakat Sabah dan Sarawak.

Pada masa sama, inisiatif berkenaan turut memberi penekanan terhadap kepentingan memelihara warisan budaya tidak ketara, khususnya seni suara dan bahasa ibunda yang menjadi sebahagian daripada khazanah kebudayaan negara.

Penganjur berkata, pertandingan tersebut juga mencerminkan komitmen pihaknya dalam menyediakan ruang kepada penyanyi dan penggiat seni tempatan untuk mengembangkan bakat, meningkatkan keyakinan diri serta memperluas pendedahan dalam industri seni dan budaya.

Menurutnya, pembangunan bakat perlu dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan generasi pelapis bukan sahaja menguasai kemahiran persembahan, malah memahami nilai sejarah dan identiti budaya yang terkandung dalam setiap karya seni.

“Pertandingan Nyanyian Borneo bukan sekadar tentang mencari juara, tetapi memastikan suara warisan kita tidak pernah terhenti.

“Setiap lagu etnik yang dipersembahkan membawa sejarah, bahasa, identiti dan jiwa masyarakat Borneo.

“Kita mahu generasi muda bukan sahaja bangga dengan budaya mereka, tetapi turut menjadi pewaris yang memastikan khazanah seni ini terus hidup dan berkembang.

“Warisan Borneo bukan hanya milik Sabah dan Sarawak, sebaliknya sebahagian daripada khazanah kebangsaan yang perlu dipelihara bersama,” katanya.

Selain memelihara warisan seni, penganjuran pertandingan itu turut membawa mesej perpaduan dengan menjadikan kepelbagaian budaya sebagai medium menyatukan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Usaha berkenaan juga seiring dengan aspirasi Visit Malaysia 2026 menerusi pengenalan seni dan budaya tempatan sebagai antara tarikan pelancongan negara.

Keunikan lagu etnik, muzik tradisional dan seni persembahan masyarakat Borneo dilihat berpotensi diketengahkan kepada khalayak tempatan serta antarabangsa, sekali gus menyumbang kepada perkembangan industri kreatif dan pelancongan budaya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN