HUJAN yang membasahi Bukit Jalil tidak menghalang kira-kira 8,000 peminat untuk ‘bertemu janji’ dengan penyanyi antarabangsa, Jason Mraz yang kembali menghiburkan pendengar di Malaysia selepas jeda tujuh tahun.
Menerusi konsert Jason Mraz Asia Tour 2026 Live in Kuala Lumpur di Stadium Hoki Nasional 31 Oktober lalu, penyanyi berusia 49 tahun itu mengisi pertemuan dengan peminat tempatan menerusi untaian lagu popular dan celoteh bersahaja.
Sebanyak 20 lagu dipersembahkan, memberi peluang kepada penonton menikmati semula karya yang pernah menemani pelbagai fasa kehidupan mereka, daripada kisah percintaan hingga mencari kekuatan menghadapi cabaran.
Sebelum Jason mengambil tempat di pentas, penonton terlebih dahulu disajikan dengan pertunjukan dron yang menghiasi ruang udara stadium sekali gus menambah tarikan kepada acara di lokasi terbuka tersebut.
Sebaik persembahan bermula, You and I Both menjadi pilihan pembuka, diikuti rangkaian lagu termasuk Long Drive, Livin’ in the Moment dan Let’s See What the Night Might Do.
Di celah persembahan, sapaan ‘apa khabar’ dan ucapan ‘terima kasih’ dalam bahasa Melayu menerima sorakan penonton yang menghargai usaha penyanyi kelahiran Amerika Syarikat itu berinteraksi dengan mereka.
Selain menyanyi, Jason turut mencuit hati peminat apabila menjadikan perubahan dirinya menjelang usia 50 tahun sebagai bahan jenaka di pentas.
“Buat apa berdiri jika boleh duduk dan buat apa duduk jika boleh baring, pada usia begini memang rasa seperti ini,” selorohnya.
Imbau kenangan
Mengimbau zaman ketika lebih muda, pelantun lagu I’m Yours itu mengakui dahulu dia suka menari, berbanding kini memilih untuk banyak berehat.
Celoteh tentang usia tersebut mengundang ketawa penonton, sekali gus menyerlahkan sisi bersahaja Jason yang bijak menyelitkan humor sepanjang persembahan.
Sambutan pula hadir daripada pendengar berbeza usia apabila generasi milenial dan generasi Z sama-sama memenuhi ruang konsert, memperlihatkan jangkauan muziknya yang merentasi generasi.
Pilihan lagu malam tersebut turut merangkumi Make It Mine, 3 Things, Love Someone, 93 Million Miles dan Have It All — dengan kisah cinta, persahabatan serta harapan menjadi antara pengisian persembahan.

Lagu Lucky dan The Remedy pula memberi ruang kepada peminat menyanyi bersama, menghidupkan suasana santai yang menjadi kekuatan persembahan penyanyi tersebut.
Konsert hampir dua jam itu turut diserikan dengan kemunculan Raining Jane, kumpulan yang sudah lama bekerjasama dengan Jason dan menjadi sebahagian daripada perjalanan muziknya.
Antara detik yang mendapat sambutan hangat ialah persembahan I Won’t Give Up apabila ribuan suara penonton bergabung menyanyikan lagu berkenaan bersama penyanyi itu.
No Plans kemudian membawa persembahan menuju penghujung sebelum I’m Yours menjadi penutup, memberikan peminat peluang terakhir untuk menyanyi bersama pada malam tersebut.
Konsert anjuran Zues Event dan dipersembahkan oleh Prudential Malaysia itu turut menjadi medan mengimbau lagu-lagu popular Jason yang masih mendapat tempat dalam kalangan pendengar.
Sebelum berpisah, Jason sempat mengucapkan ‘jumpa lagi’, meninggalkan harapan kepada peminat agar pertemuan seterusnya tidak memerlukan penantian tujuh tahun lagi.
















