KUALA LUMPUR – Jumlah mangsa banjir di Selangor terus meningkat dengan dua lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka, manakala di Perak mencatatkan penurunan.
Secara keseluruhan jumlah mangsa banjir di kedua-dua negeri itu seramai 1,484 orang daripada 420 keluarga pagi ini berbanding 1,362 orang daripada 383 keluarga petang semalam.
Di Selangor, jumlah mangsa di tujuh PPS di daerah Kuala Selangor meningkat kepada 1,180 orang daripada 330 keluarga berbanding 1,032 orang daripada 289 keluarga petang semalam.
Menurut portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dua PPS baharu dibuka iaitu Kafa Integrasi Hidayah yang menempatkan 81 mangsa dan Dewan Komuniti Penyayang Tanjung Siam dengan 38 mangsa.
PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Maharaja Lela menempatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 426 orang, diikuti Sekolah Rendah Agama Bukit Kuching (287), SK Parit Mahang (259), Sekolah Agama Batu 8 Ijok (77) dan SK Jaya Setia (12).
Di Perak, jumlah mangsa banjir di daerah Hilir Perak menurun kepada 304 orang daripada 90 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 330 orang daripada 94 keluarga petang semalam.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan PPS Dewan Rumah Rehat Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) menempatkan 255 mangsa daripada 75 keluarga, manakala PPS Dewan MPTI Langkap menempatkan 49 mangsa daripada 15 keluarga.
Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan dua sungai di Perak mencatatkan paras bahaya iaitu Sungai Slim di Slim River dengan bacaan 26.18 meter (m) dan Sungai Kinta di Tanjung Tualang (14.01 m).
Sungai Kampar di Kampung Baru Kuala Dipang (RHN) dan Sungai Kurau di Kolam Air Bukit Merah pula masing-masing mencatatkan paras amaran dengan bacaan 22.26 m dan 9.08 m. – BERNAMA
















