PETALING JAYA – Malaysia perlu lebih selektif dalam menarik pelaburan pusat data dengan mengutamakan projek berkualiti tinggi yang mampu menjana nilai tambah ekonomi serta menyokong pembangunan kecerdasan buatan (AI) dan industri tempatan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pertumbuhan sektor pusat data perlu diurus secara bertanggungjawab supaya tidak membebankan rakyat dan perniagaan sedia ada.
Katanya, kos bekalan elektrik serta pembangunan infrastruktur yang diperlukan bagi menyokong operasi pusat data perlu ditanggung sepenuhnya oleh pengendali dan bukannya dipindahkan kepada pengguna lain.
“Pertimbangan permohonan baharu juga perlu mengambil kira ketersediaan bekalan elektrik dan keupayaan negeri menampung keperluan air,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Terdahulu, Johari hadir menyampaikan ucaptama pada Bursa Malaysia Sectoral Series: Powering the AI Era, semalam.
Dalam pada itu, Johari berkata, Malaysia perlu memberi tumpuan kepada pembinaan asas ekonomi digital yang berdaya saing selain membuka lebih banyak peluang kepada syarikat tempatan.
Antara bidang yang berpotensi mendapat manfaat daripada perkembangan industri pusat data ialah penjanaan tenaga, penyimpanan tenaga dan kejuruteraan.
Tambahnya, setiap pelaburan yang dibawa masuk perlu memberikan manfaat ekonomi yang nyata selain memastikan penggunaan sumber negara dilaksanakan secara cekap dan mampan.
“Pelaburan ini mesti membawa manfaat ekonomi yang nyata, dengan penggunaan sumber negara yang cekap dan mampan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
















