SEOUL – Sebanyak empat kes meniru menggunakan cermin mata kecerdasan buatan (AI) dilaporkan berlaku di sekolah menengah rendah dan menengah atas tahun ini, menurut Kementerian Pendidikan Korea Selatan pada Isnin, lapor Agensi Berita Yonhap.
Berdasarkan data yang dikumpul daripada kesemua 5,679 sekolah menengah rendah dan atas di seluruh negara antara 27 Oktober hingga Selasa lepas, seorang pelajar sekolah menengah rendah dan tiga pelajar sekolah menengah atas ditangkap menggunakan cermin mata AI ketika peperiksaan pertengahan atau akhir tahun.
Sekolah menengah rendah dan sebuah sekolah menengah atas itu terletak di Seoul, manakala dua lagi sekolah menengah atas masing-masing di Wilayah Jeolla Utara dan pulau peranginan Jeju.
Tiga daripada empat pelajar terbabit ditangkap selepas dilihat kerap menyentuh cermin mata mereka, manakala seorang lagi dikesan menukar kepada cermin mata AI selepas peperiksaan bermula.
Bagi kes kedua, pengawas peperiksaan telah memantau rapi pelajar berkenaan susulan maklumat yang disalurkan oleh pelajar lain, kata pegawai.
Kesemua empat pelajar itu diberikan markah sifar bagi peperiksaan yang terbabit selaras dengan peraturan berkaitan.
Selain itu, tindakan tatatertib berasingan turut diambil terhadap ketiga-tiga pelajar sekolah menengah atas berkenaan, termasuk menjalani pendidikan khas selama tiga hari, khidmat masyarakat empat jam dan digantung persekolahan selama lima hari.
Pelajar sekolah menengah rendah terbabit tidak dikenakan tindakan tatatertib rasmi sebaliknya diminta melakukan kerja khidmat sukarela di sekolah.
Kementerian Pendidikan memaklumkan, pihaknya merancang untuk mengedarkan bahan pendidikan kepada pelajar yang memperincikan kes-kes penipuan berkenaan, di samping garis panduan bagi pihak sekolah membendung penyalahgunaan cermin mata AI.
Kementerian itu menambah bahawa langkah pencegahan lanjut akan dibincangkan bersama pejabat pendidikan wilayah dan Institut Kurikulum dan Penilaian Korea.
Sebelum ini, Kementerian Pendidikan menegaskan bahawa calon yang didapati meniru dalam peperiksaan kemasukan kolej tahunan menggunakan cermin mata AI akan berdepan pertuduhan jenayah serta dilarang menduduki ujian itu selama tiga tahun, berbanding larangan setahun sebelum ini. – Bernama
















