Tangkap layar rakaman keadaan trafik sesak dari Pantai Timur menghala ke ibu negara dikongsi oleh @izzatsofian di Threads, hari ini.

[VIDEO] ‘Tak payah rancang perjalanan, setiap sudut sesak balik KL’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – “Yang dari Pantai Timur ke KL hari ini, tak payah rancang perjalanan anda. Hidupkan kereta, jalan je. Tetap sangkut dekat Bentong.”

Demikian perkongsian seorang pengguna Threads, @izzatsofian yang berseloroh mengenai kesesakan trafik di laluan menghala ke Kuala Lumpur menerusi Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) pada hari terakhir cuti perayaan Deepavali.

Perkongsian itu turut mengundang pelbagai reaksi netizen yang berkongsi pengalaman serta pandangan mengenai keadaan trafik ketika perjalanan pulang ke ibu kota.

“Keputusan yang bijak tidak balik kampung. Jem teruk ni,” komen @hazemanomar.

“Bijak merancang. Tersangkut jua. Semoga selamat sampai semuanya,” ujar @narasyahomestay pula.

Malah, ada juga yang berpendapat keputusan bergerak sehari lebih awal merupakan pilihan tepat, namun masih tidak dapat mengelak kesesakan.

“Pilihan yang tepat untuk gerak semalam. Itu pun sangkut juga dalam lima kilometer nak sampai Tol Gombak. Semoga berjaya,” tulisnya.

Menurut kemas kini Lembaga Lebuh Raya di Facebook setakat pukul 4.32 petang ini, aliran trafik bergerak perlahan di beberapa lokasi di Lebuh Raya KLK.

Antaranya dari Persimpangan Bentong Timur ke Lentang serta Bukit Tinggi ke Plaza Tol Gombak bagi laluan arah barat (menghala ke Kuala Lumpur).

Selain itu, trafik di Lebuh Raya Pantai Timur 1 turut dilaporkan perlahan dari Lanchang ke Karak bagi laluan arah barat.

Beberapa laluan di Lebuh Raya Utara-Selatan turut mengalami keadaan sama, termasuk Sungkai ke Bidor, Tapah ke Gopeng, Sungai Besi ke UPM serta Bangi ke Kajang.

Dalam perkembangan sama, trafik di Jambatan Pulau Pinang arah barat dari Perai ke pulau turut dilaporkan sesak susulan kemalangan di Kilometer 8.3 yang menyebabkan lorong kecemasan ditutup. – KOSMO! ONLINE

View on Threads

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN