Ucapan takziah kepada semua mangsa yang dipanah petir di Bandar Baru Salak Tinggi, hari ini.

Maut disambar petir: ‘Dari kampung di Semporna, mereka tak pernah berpisah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SERDANG – “Ketiga-tiga mereka memang rapat, sangat rapat. Kalau seorang pergi mana-mana, yang dua lagi mesti akan ikut. Contoh, seorang buat (baiki) motosikal, yang lain pun ikut”.

Itu luahan bapa saudara tiga lelaki yang meninggal dunia dipercayai akibat disambar petir dalam kejadian di Bandar Baru Salak Tinggi, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, mangsa yang meninggal dunia ialah Mohd Sahrif Marusin, 26, dan adiknya Mohamad Ahzam, 16, serta saudara mereka, Mohammad Safwan Aksan, 18.

Haris Salleh Kurais, 42, berkata, ketiga-tiga mangsa memang rapat dan tidak dapat dipisahkan sejak mereka membesar di kampung halaman di Semporna, Sabah sehinggalah menetap serta bekerja di sini.

“Ketika itu saya sedang tengok TV (televisyen). Dalam 4.30 petang, saya dapat panggilan mengatakan yang anak buah saya terkena renjatan elektrik, lepas itu ada seorang lagi kata kena panahan petir.

“Jadi saya siap-siap dan terus bergegas ke hospital. Ketika itu saya memang terkejut, tak sangkalah benda itu boleh berlaku,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultan Idris Shah Serdang, di sini, hari ini.

Menurutnya, mereka mempunyai hubungan yang rapat dan ketiga-tiga anak saudaranya itu memang menghormati dirinya sebagai pak cik mereka, malah baru bertemu kesemua mangsa kira-kira dua hari lalu ketika berkumpul bersama keluarga.

“Masa kejadian itu pun mereka sedang baiki kereta milik salah seorang daripada mereka. Jadi, memang saya tak sangkalah benda ini boleh berlaku,” katanya.

Haris berkata, seluruh ahli keluarga di Semenanjung dan Sabah sudah dimaklumkan berhubung insiden itu termasuk ibu bapa mangsa yang berada di kampung.

Katanya, urusan penghantaran pulang ke Sabah akan dilakukan secepat mungkin sejurus proses bedah siasat oleh pihak polis selesai dijalankan.

Terdahulu, dilaporkan tiga lelaki termasuk dua remaja berusia 18 dan 16 tahun maut dipercayai akibat disambar petir ketika berteduh di Bandar Baru Salak Tinggi, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman dilaporkan berkata, kejadian berlaku pada 3.34 petang di padang awam di Bandar Baru Salak Tinggi.

Menurutnya, Mohd Sahrif bekerja sebagai pekerja pembersihan kapal terbang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, manakala dua lagi saudaranya tidak bekerja. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN