MASJID TANAH – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Dr Ab. Rauf Yusof yakin parti itu memiliki peluang besar untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Keyakinan itu dizahirkan selepas mengambil kira perkembangan politik semasa yang dilihat memberi kelebihan kepada gabungan itu ketika berbaki 48 jam sebelum hari pengundian, Sabtu ini.
Beliau berkata, isu politik yang timbul mampu membantu meraih kepercayaan pengundi bagi BN terus mentadbir Melaka.
“Ya, saya melihat peluang BN amat besar.
“Dalam berlaku sedikit kecelaruan politik di Putrajaya, dengan isu-isu semasa yang tidak sepatutnya berlaku dalam tempoh pilihan raya ini, memberikan kelebihan kepercayaan rakyat kepada Barisan Nasional untuk menerajui Melaka,” katanya ketika ditemui selepas Ceramah Kempen DUN Tanjung Bidara cawangan Bidara Palma, di sini malam tadi.
Ditanya sama ada BN mampu memenangi lebih daripada 21 kerusi, Ab Rauf meminta semua pihak menunggu keputusan pilihan raya.
“Itu kita tunggu dulu. Insya-Allah,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ab Rauf yang juga calon BN DUN Tanjung Bidara berkata, masyarakat setempat menerima baik cara gerak kerja jentera pilihan raya BN di kawasan itu.
“Saya mlihat PDM (Pusat Daerah Mengundi) kawasan Bidara Palma ini cukup bersedia menghadapi pilihan raya yang akan berlangsung dua hari lagi.
“Semua orang akan bersama-sama untuk memastikan bahawa geng biru akan dapat kembali semula sebagai ADUN di Tanjung Bidara ini,” katanya.
Pada PRN Melaka 2021, BN memenangi sebanyak 21 daripada 28 kerusi DUN yang dipertandingkan, sekali gus berjaya membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.
PRN Melaka kali ini menyaksikan BN dan Perikatan Nasional (PN) menjalin kerjasama strategik, dengan BN bertanding di 23 kerusi DUN, manakala PN di lima kerusi.
















