PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita atas pemergian wakil calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan, J. Samivel Jairas yang maut dalam kemalangan jalan raya di Melaka, tengah hari tadi.
Anwar menerusi hantaran di Threads memaklumkan, mendiang yang juga Naib Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Alor Gajah merupakan seorang pejuang parti yang telah lama berkhidmat dan setia dengan perjuangan.
“Saya menerima khabar duka dari Melaka. Saudara Samivel, wakil calon HARAPAN bagi DUN Asahan telah terkorban dalam nahas jalan raya tengah hari tadi.
“Sebagai Naib Ketua Cabang KEADILAN Alor Gajah, saudara Samivel telah lama berkhidmat dan bersetia dengan perjuangan.
“Moga jasa dan semangat beliau terus membimbing langkah kita dalam meneruskan perjuangan ini,” katanya menerusi hantaran tersebut hari ini.
Dalam pada itu, Anwar turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mendiang serta rakan-rakan seperjuangan yang kehilangan seorang pemimpin parti.
“Ingatan serta doa saya dan Azizah kini bersama keluarga mendiang serta sahabat-sahabat seperjuangan.
“Semoga mereka diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian getir ini,” katanya.
Hantaran tersebut turut disertakan sekeping gambar memaparkan Anwar bersama mendiang dalam sebuah majlis yang dihadiri orang ramai.
Terdahulu, media melaporkan Samivel meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya yang berlaku di hadapan Bilik Gerakan Utama PH DUN Asahan, hari ini.
Mendiang merupakan wakil kepada calon PH bagi DUN Asahan, Denesh Palasubramaniam pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Jabatan Pilihan Raya PH menerusi kenyataan media memaklumkan, pemergian Samivel merupakan satu kehilangan besar kepada keluarga, sahabat serta seluruh anggota parti yang mengenali beliau.
PH turut merakamkan penghargaan terhadap segala jasa dan sumbangan mendiang, khususnya komitmen serta kerja kerasnya sepanjang kempen PRN Melaka.– KOSMO! ONLINE
















