FARZANA sentiasa turun padang untuk mendengar sendiri luahan hati masyarakat di Kelebang.

Nana sudah sebati dengan Kelebang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Bukan sekadar datang berkempen untuk meminta undi, calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelebang, Farzana Hayani Mohd. Nasir mempunyai kelebihan tersendiri apabila kawasan itu bukan asing baginya, sebaliknya sudah menjadi sebahagian daripada tempatnya membesar.

Mesra disapa Nana, anak jati Bukit Rambai berusia 26 tahun itu melihat faktor mengenali selok-belok kawasan sebagai antara kekuatan untuk mendekati pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Menurut Farzana Hayani, Kelebang bukan sekadar kawasan yang perlu dilawati sepanjang tempoh berkempen, sebaliknya mempunyai masyarakat dan permasalahan yang sudah lama diketahuinya.

Latar belakang itu membolehkan beliau memahami kepelbagaian kelompok masyarakat di kawasan berkenaan, termasuk pesawah, nelayan, golongan pekerja dan anak muda yang mempunyai keperluan serta tuntutan berbeza.

Malah, penguasaan bahasa Mandarin turut menjadi kelebihan tersendiri buat Farzana Hayani untuk mendekati masyarakat Cina, khususnya golongan warga emas yang mungkin lebih selesa berkomunikasi menggunakan bahasa ibunda.

Tidak hairanlah kehadirannya di beberapa lokasi tumpuan masyarakat Cina termasuk Pokok Mangga, mendapat perhatian penduduk yang melihat kebolehannya berkomunikasi dalam bahasa itu sebagai satu kelebihan.

Penguasaan bahasa Mandarin itu bukan sesuatu yang dipelajari secara singkat semata-mata untuk memenuhi keperluan politik, sebaliknya mempunyai kaitan rapat dengan latar belakang pendidikannya.

Farzana Hayani berkata, beliau bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ying Chye dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Tinggi Cina Melaka, selain mengambil subjek Bahasa Mandarin dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

FARZANA (tengah) bersama penyokongnya.

Katanya, pengalaman berada dalam persekitaran masyarakat berbilang kaum sejak zaman persekolahan membentuk keupayaannya berkomunikasi dengan lebih mudah, sekali gus menghilangkan jurang ketika mendekati pengundi berlainan latar belakang.

Ujarnya, kebolehan berbahasa Mandarin bukan sekadar untuk memperkenalkan diri tetapi membantu mewujudkan suasana perbualan lebih santai ketika menyentuh isu politik dan masalah setempat.

“Ramai masyarakat Cina yang disantuni ketika berkempen, khususnya di kedai makan dan semasa program jelajah mesra terkejut mendengar saya bertutur bahasa Mandarin dan perbualan politik kami menjadi lebih santai.

“Alhamdulillah, ia kelebihan kepada saya. Maklum balas diterima daripada masyarakat Cina di DUN Kelebang juga positif dan saya harap akan diterjemahkan pada kertas undi nanti,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Namun, Farzana Hayani sedar penguasaan bahasa dan status sebagai anak tempatan sahaja tidak cukup untuk menjamin kemenangan, apatah lagi kerusi Kelebang menyaksikan persaingan empat penjuru melibatkan calon berpengalaman.

Beliau berdepan penyandang daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Lim Ban Hong; calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad dan calon Parti Bersama Malaysia (Bersama), Young Jie Yu.

Persaingan itu meletakkan Farzana Hayani dalam situasi mencabar apabila perlu meyakinkan pengundi bahawa usia muda bukan penghalang untuk memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

Beliau berkata, kemampuan seseorang pemimpin tidak seharusnya diukur berdasarkan usia semata-mata, sebaliknya melalui kesungguhan bekerja, keupayaan menyelesaikan masalah dan komitmen memperjuangkan kepentingan masyarakat.

“Kita tengok (Perdana Menteri) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berumur 80 tahun pun sangat bertenaga, jadi kita yang baru 26 tahun ni, kita jadikan itu sebagai contoh untuk kita bekerja dengan lebih kuat, lebih agresif.

“Usia bagi Nana bukan ukuran semata-mata. Kita kena nilai berdasarkan gerak kerja dan sebagainya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN