PENGENALAN kecerdasan buatan (AI) telah menyebabkan banyak urusan harian manusia menjadi lebih mudah dan cepat.
Bagaimanapun, perkembangan teknologi itu juga telah menyebabkan pekerjaan yang didominasi oleh manusia semakin terancam.
Sebelum ini, ramai pihak berangapan bahawa hanya kerja-kerja pengurusan yang melibatkan komputer sahaja yang akan terjejas dengan pengenalan teknologi AI.
Hakikatnya kini, kerjaya sebagai pemandu teksi dan e-hailing juga berpotensi terjejas selepas beberapa negara mula memperkenalkan teknologi teksi robot (robotaxi).
Robotaxi merupakan kenderaan autonomi tanpa pemandu yang beroperasi bagi membawa penumpang dari satu ke lokasi ke lokasi lain.
Kenderaan itu menggunakan tahap autonomi SAE Tahap 4 atau Tahap 5, sekali gus membolehkan ia melalui jalan raya yang sibuk di persekitaran bandar.
Penumpang boleh membuat tempahan, menjejaki dan membayar tambang perjalanan melalui aplikasi telefon pintar, sama seperti perkhidmatan e-hailing konvensional.
Di China, penggunaan robotaxi semakin meluas. Misalnya di Beijing dan Shenzhen, perkhidmatan robotaxi di sana didominasi oleh dua syarikat iaitu Pony.ai dan Apollo Go.
Menerusi kedua-dua perkhidmatan tersebut, para penumpang berpeluang menikmati perkhidmatan lebih murah berbanding e-hailing biasa kerana tidak perlu membayar kos pemandu.
Penumpang juga lebih selesa menggunakan perkhidmatan robotaxi berbanding teksi atau e-hailing tradisional kerana mereka mempunyai ruang privasi peribadi ketika di dalam kenderaan.
Penumpang juga tidak perlu melayan perbualan dengan pemandu e-hailing yang kadang-kadang agak merimaskan dan menjejaskan waktu mereka untuk berehat.
Justeru itu, tidak hairanlah sekiranya syarikat e-hailing tradisional juga sudah mula beralih kepada pengunaan robotaxi bagi memenuhi permintaan pelanggan.
Awal tahun ini, Financial Times melaporkan bahawa Uber merancang untuk melabur berbilion dolar untuk robotaxi.
Ini kerana, pertumbuhan robotaxi Uber mencatatkan peningkatan tujuh peratusan lebih pantas berbanding perkhidmatan e-hailing konvensional di Amerika Syarikat.
Sementara itu, hasil carian penulis menunjukkan, perkhidmatan robotaxi masih belum beroperasi secara komersial di atas jalan raya awam di Malaysia.
Bagaimanapun, ujian aktif, demonstrasi teknologi dan pembangunan rangka kerja kawal selia sedang giat dijalankan bagi membolehkan robotaxi dilaksanakan di negara ini pada masa depan.
Situasi ini memberi tamparan hebat kepada mereka yang bergantung hidup sebagai pemandu teksi dan e-hailing kerana berpeluang hilang punca pendapatan. -KOSMO! ONLINE
















