SETIAP kali berlaku kemalangan ngeri di lokasi tertentu terutamanya di kawasan ‘blackspot’ ada dalam kalangan masyarakat kita terus mengaitkannya dengan unsur mistik.
Kepercayaan sedemikian bukan perkara baharu dalam masyarakat Malaysia, malah ada lokasi kemalangan yang menjadi bualan sehingga penduduk mengadakan solat hajat dan kenduri bagi memohon perlindungan serta mengelakkan kejadian sama berulang.
Namun, sejauh manakah dakwaan tersebut berasas kerana kemalangan sebenarnya boleh berpunca daripada pelbagai faktor yang boleh dikenal pasti melalui penelitian teknikal dan analisis data?
Pengamal keselamatan jalan raya dan pengasas Road Safety Expert Association (RSEA), Jamil Manan Supri berkata, masyarakat perlu membezakan antara kepercayaan dengan fakta apabila membincangkan sesuatu lokasi yang sering berlaku kemalangan.
Menurutnya, dia tidak berniat memperlekehkan sensitiviti agama dan budaya masyarakat, namun aspek keselamatan jalan raya perlu dinilai berdasarkan bukti, pemerhatian serta penilaian risiko yang boleh dikenal pasti.
Katanya, lokasi yang kerap berlaku kemalangan lebih wajar dilihat sebagai kawasan berisiko yang mungkin mempunyai kelemahan dari segi reka bentuk jalan, keadaan persekitaran atau tingkah laku pengguna.
“Jangan hanya percaya kepada cerita tentang sesuatu lokasi.
“Sesuatu kawasan juga tidak boleh sewenang-wenangnya dikategorikan sebagai titik hitam kemalangan atau blackspot hanya berdasarkan cerita lisan dan persepsi masyarakat tanpa disokong rekod kejadian,”katanya.
Sebaliknya, Jamil berkata, aduan penduduk mengenai kemalangan berulang perlu dijadikan petunjuk awal untuk menjalankan analisis data kemalangan, termasuk meneliti kekerapan kejadian, tahap kecederaan, jenis kenderaan serta waktu kemalangan berlaku.
Menurutnya, penilaian perlu mengambil kira keadaan geometri selekoh, permukaan jalan, pencahayaan, jarak penglihatan, faktor cuaca dan kelajuan kenderaan.
Beliau menjelaskan, walaupun sesuatu selekoh hanya mencatatkan beberapa kemalangan, kejadian berulang dalam keadaan hampir sama boleh menunjukkan wujudnya kelemahan reka bentuk atau risiko operasi.
Antara faktor manusia termasuk mengantuk, keletihan, hilang tumpuan, menggunakan telefon bimbit, memandu laju serta gagal mengawal kenderaan ketika memasuki selekoh.
Dari aspek jalan pula, pencahayaan tidak mencukupi, selekoh tajam, papan tanda amaran tidak jelas, permukaan licin, lubang serta sistem saliran tidak sempurna boleh meningkatkan risiko kemalangan.
Tayar kurang cengkaman, sistem brek tidak diselenggara, kerosakan suspensi dan lampu tidak berfungsi dengan baik turut berpotensi menyumbang kepada nahas.
Jamil berkata, kemalangan lazimnya tidak berpunca daripada satu faktor semata-mata, sebaliknya boleh berlaku apabila beberapa risiko bergabung dalam satu keadaan.
Sehubungan itu, RSEA berpandangan aduan mengenai kawasan yang dianggap keras perlu ditangani secara terbuka melalui pendekatan berasaskan komuniti, termasuk merekodkan lokasi, sejarah kejadian dan keadaan persekitaran sebelum mengemukakan cadangan kepada Jabatan Kerja Raya.
Jamil menghormati amalan masyarakat mengadakan solat hajat atau kenduri bagi memohon kesejahteraan, namun ia tidak sepatutnya menggantikan tanggungjawab mengenal pasti dan menghapuskan risiko keselamatan. – KOSMO! ONLINE
















