KUALA LUMPUR – Konvoi yang membawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di kediamannya di Jalan Langgak Duta, di sini kira-kira pukul 9.27 malam ini.
Najib dipercayai menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70 berwarna kelabu yang membawa beliau ke kediaman berkenaan bagi menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan di rumah.
Terdahulu, konvoi kenderaan tersebut bergerak keluar dari Penjara Kajang kira-kira pukul 9.05 malam sebelum tiba di sini.
Tinjauan Kosmo! di lokasi mendapati anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan kawalan keselamatan yang ketat di kawasan persimpangan menuju ke kediaman bekas Ahli Parlimen Pekan itu.
Turut kelihatan beberapa penyokong bekas Perdana Menteri itu yang teruja menyambut kepulangan beliau di sini.
Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Aslam Zainuddin mengeluarkan perintah pelepasan baharu yang membolehkan bekas Presiden UMNO itu menjalani baki hukuman penjara enam tahun dalam kes SRC International Sdn. Bhd. secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Perintah itu turut membatalkan sepenuhnya perintah pelepasan yang dikeluarkan pada 6 November lalu dan menggantikannya dengan perintah baharu selaras dengan Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 18 September lalu.
Perkembangan itu sekali gus menamatkan ketidaktentuan berhubung pelaksanaan tahanan di rumah terhadap Najib yang sebelum ini ditangguhkan sementara oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).
Pada 6 November lalu, Najib dilaporkan keluar dari Penjara Kajang selepas menjelaskan denda RM50 juta di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi membolehkan baki hukumannya dijalani menerusi tahanan di rumah.
Bagaimanapun, beliau kembali ke Penjara Kajang selepas menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) susulan keputusan AGC menangguhkan sementara pelaksanaan tahanan di rumah bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat.
Susulan itu, AGC memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi hari ini bagi mendapatkan perintah pelepasan baharu yang lebih jelas dan selaras dengan pengampunan berkenaan.
Najib sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020 selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana SRC International berjumlah RM42 juta.
Bagaimanapun, hukuman penjaranya dikurangkan kepada enam tahun manakala denda dikurangkan kepada RM50 juta menerusi pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong pada 18 September lalu.
Beliau mula menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang pada 23 Ogos 2022. – KOSMO! ONLINE
















