PETALING JAYA – “Alhamdulillah,” demikian ungkapan ringkas rasa syukur dikongsikan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Facebooknya hari ini.
Dalam masa sama, Najib turut memuat naik gambar beliau dikawal ketat oleh pegawai penjara sewaktu berada di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
Hantaran itu mendapat pelbagai maklum balas daripada pengguna media sosial terutama penyokongnya yang turut bersama-sama mengucapkan syukur atas perintah pelepasan baharu yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi hari ini.
“Alhamdullillah, alhamdulillah, alhamdulillah. Syukurlah, mudah-mudahan DSNR sentiasa sihat-shat selalu,” komen pengguna Facebook Zulkifli Mohammad.
“Welcome back (selamat kembali) bossku,” kata JunYong Soh.
“Alhamdulillah, syukur padamu ya Allah,” kata Amri Ishak.
Kosmo! Online hari ini melaporkan, Najib akan menjalani baki hukuman penjara dalam kes SRC International Sdn Bhd menerusi tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta, Kuala Lumpur secara serta-merta.
Ia selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Aslam Zainuddin hari ini mengeluarkan perintah pelepasan baharu sekali gus membatalkan perintah pelepasan yang dikeluarkan pada 6 November lalu terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan tersebut.
Pada 18 September lalu, Najib mendapat pengampunan bersyarat daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, yang membolehkan baki hukuman penjara dijalani menerusi tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Menurut Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri, pengampunan bersyarat itu tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.
Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pengubahan wang haram serta satu salah guna kedudukan membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Najib mula menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang pada 23 Ogos 2022 sebelum mengemukakan petisyen pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 2 September tahun sama. – KOSMO! ONLINE
















