PETALING JAYA – Dua kejadian kemalangan dilaporkan berlaku di Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) menghala Shah Alam malam ini, sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas teruk di laluan berkenaan.
Antara kejadian yang tular di media sosial membabitkan sebuah treler yang dipercayai melanggar struktur jejambat dan papan iklan, selain sebuah jengkaut ditemukan terbalik di atas jalan raya.
Menerusi beberapa rakaman video yang dikongsikan pengguna jalan raya, sebahagian struktur penghadang jejambat dan papan iklan kelihatan rosak serta terjuntai, manakala serpihan bertaburan di atas jalan.
Rakaman sama turut memperlihatkan sebuah treler membawa kontena berada di bawah jejambat berkenaan, dengan sebuah jengkaut dalam keadaan terbalik tidak jauh dari lokasi tersebut.
Seorang pengguna Threads, @fazrilhaikal mendakwa kejadian berpunca daripada sebuah treler yang membawa muatan jengkaut melebihi had ketinggian.
“Treler membawa muatan jengkaut melanggar jejambat kerana melebihi had ketinggian,” dakwanya.
Sementara itu, seorang lagi pengguna Threads, @fdausrosol meluahkan rasa terkejut selepas menyaksikan kejadian berkenaan.
“Sangat terkejut. Mujur tiada kereta atau motosikal yang terkena, ya Allah,” katanya.
Pengguna Threads, @firdaus0688 pula menasihatkan pengguna jalan raya supaya berhati-hati ketika melalui kawasan berkenaan kerana bimbang terdapat serpihan yang masih berisiko jatuh.
“NKVE menghala ke Klang, landasan LRT dilanggar muatan tinggi. Hati-hati yang melaluinya, khuatir serpihan batu jatuh lagi,” katanya.
Dalam pada itu, Astro Radio Traffic menerusi hantaran Facebook pada pukul 8.17 malam melaporkan satu kemalangan di Kilometer 14.0 NKVE yang menyebabkan kesesakan dari Kota Damansara menuju Shah Alam.
Menurut laporan itu, kemalangan berkenaan menyebabkan lorong kiri dan kanan terhalang sekali gus menjejaskan kelancaran trafik di laluan tersebut.
Bagaimanapun, setakat ini belum dapat dipastikan punca sebenar kejadian serta sama ada terdapat mangsa yang mengalami kecederaan. – KOSMO! ONLINE
















