PETALING JAYA – Seramai 1,500 mahasiswa anak Pahang dari seluruh universiti di negara ini bakal berhimpun dalam Konvensyen Bakti Negeri Siswa Pahang Apresiasi Pahang 1st yang akan berlangsung di Putrajaya International Convention Centre (PICC), Putrajaya pada Sabtu ini.
Presiden Majlis Anak Pahang Nasional (Mampan) Kebangsaan, Wan Izzul Hakim Wan Jamal Abdul Nasir berkata, konvensyen tersebut memberi penekanan kepada tiga teras utama, iaitu kepimpinan, intelektual dan kenegerian.
Beliau berkata, teras kepimpinan memberi fokus kepada pembentukan pemimpin mahasiswa yang kompeten dan berintegriti. Teras intelektual pula menggalakkan pemikiran kritis menerusi perbahasan serta wacana ilmiah.
“Teras kenegerian bertujuan menyatukan mahasiswa daripada pelbagai institusi di bawah satu aspirasi dan agenda pembangunan Pahang. Antara pengisian utama konvensyen ialah Persidangan Mahasiswa Anak Pahang yang menjadi ruang perbincangan serta pembentukan resolusi berkaitan kepentingan mahasiswa dan pembangunan negeri.
“Program itu turut menampilkan sesi townhall bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail atau Tok Wan bagi membuka peluang kepada mahasiswa berinteraksi secara langsung dengan kepimpinan kerajaan negeri, selain menyampaikan pandangan, persoalan dan aspirasi mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Penganjuran konvensyen itu melibatkan penyertaan mahasiswa daripada 27 institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh Malaysia.
Antara IPT yang mengambil bahagian ialah Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).
Dalam pada itu, katanya, penganjuran tersebut bertujuan melahirkan pemimpin mahasiswa yang mempunyai jati diri, integriti serta semangat kenegerian yang tinggi.
“Mahasiswa anak Pahang bukan sekadar golongan yang menuntut ilmu di menara gading, sebaliknya merupakan aset penting dan bakal pemimpin yang akan menyumbang kepada pembangunan negeri.
“Kita mahu melahirkan barisan mahasiswa yang berfikiran matang, berani menyuarakan pandangan dan mempunyai keupayaan kepimpinan untuk membawa aspirasi anak Pahang ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Program berskala besar itu yang berlangsung dari pukul 7 pagi hingga 7.30 malam turut menampilkan persembahan khas daripada penyanyi popular, Nabila Razali dan kumpulan Floor 88. – KOSMO! ONLINE
















