TANGKAP layar daripada rakaman video menunjukkan landasan kereta api yang kehilangan besi landasan yang telah dicuri. - X

Landasan kereta api sepanjang 200 meter kena kebas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JAKARTA – Polis Indonesia sedang menyiasat dan memburu suspek yang mencuri komponen besi landasan kereta api sepanjang hampir 200 meter di Daerah Langkat, wilayah Sumatera Utara, lapor saluran berita Detik News.

Berdasarkan rakaman video yang dikongsi oleh detikSumut semalam, video kehilangan besi landasan kereta api tersebut dirakam oleh seorang penunggang motosikal yang melalui tepi landasan terbabit. 

Penunggang berkenaan merakam beberapa bahagian besi landasan yang telah hilang, melibatkan jajaran yang agak panjang.

Pemilik video memaklumkan bahawa laluan tersebut masih belum digunakan untuk perkhidmatan kereta api. 

Landasan itu terletak di Kampung Teluk Bakung, Mukim Tanjung Pura.

“Besi di laluan landasan kereta api sepanjang 200 meter dilaporkan hilang,” demikian menurut kapsyen hantaran berkenaan.

Ketua Polis Sektor Tanjung Pura, AKP Donny P Simatupang berkata, pihaknya telah pergi ke lokasi kejadian untuk memeriksa video tular tersebut. 

Hasil pemeriksaan mengesahkan bahawa besi landasan kereta api itu sememangnya telah tiada. 

Bagaimanapun, dia belum dapat memastikan panjang sebenar bahagian yang hilang.

“Kami sudah memeriksa tempat kejadian. Besi landasan itu memang telah hilang,” kata Donny ketika dihubungi detikSumut.

Donny menambah bahawa berdasarkan siasatan awal, besi-besi tersebut dipercayai hilang akibat dicuri dan polis masih menjalankan siasatan lanjut mengenainya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN