JAKARTA – Gara-gara terdesak mahu membiayai teman lelaki, seorang wanita di Kabupaten Bone, Sulawesi Selatan, sanggup mencuri dan menggadaikan motosikal milik ibu kandungnya sendiri, lapor saluran berita Lambe Turah.
Wanita berusia 28 tahun dikenali sebagai YM ditahan pihak berkuasa selepas disyaki melarikan kenderaan itu untuk menampung keperluan harian serta perbelanjaan kekasihnya.
Kejadian dilaporkan berlaku pada Jumaat lalu di Jalan Kolonel Pol Andi Dadi, Mukim Tanete Riattang.
Mangsa menyedari motosikal jenis Honda Scoopy berwarna kuning miliknya yang diletakkan di halaman rumah tiba-tiba hilang sewaktu hendak keluar, sebelum bertindak membuat laporan di Balai Polis Tanete Riattang.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Balai Polis Tanete Riattang, AKP Henri Aswan mengesahkan bahawa siasatan awal mendapati pelakunya tidak lain adalah anak kandung mangsa sendiri, dan suspek turut mengakui perbuatannya ketika disoal siasat.
Menurut pihak polis, YM telah menggadaikan kenderaan tersebut kepada seorang lelaki tempatan yang dikenali sebagai MF sebelum menyerahkan wang yang diperoleh kepada teman lelakinya.
“Suspek mendakwa wang hasil gadaian berkenaan digunakan bagi menanggung keperluan teman lelakinya selain untuk menampung perbelanjaan hariannya sendiri,” jelas Henri.
Suspek akhirnya berjaya diberkas pihak polis pada malam Sabtu sekitar jam 9.35 malam (waktu tempatan) di sebuah bilik sewa milik rakannya di Kelurahan Bajoe.
Dalam serbuan tersebut, polis turut merampas sebuah motosikal, sebuah telefon bimbit serta sebuah beg berisi kelengkapan solek bagi membantu siasatan lanjut. – AFP
















