PETALING JAYA – Seorang wanita dipercayai hamil didakwa mencuri sepasang selipar di hadapan sebuah rumah, tidak sampai seminit selepas pemiliknya masuk ke kediaman tersebut.
Kejadian yang berlaku pada Isnin lalu kira-kira pukul 8.11 malam itu dikongsikan pengguna Threads, @pejoilaa, dipercayai berlaku di sebuah apartmen.
Menerusi tangkap layar rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang dikongsikan, wanita itu dipercayai sudah memerhati dari jauh ketika lelaki itu bersama keluarganya ingin masuk ke rumah.
Tidak lama kemudian, wanita itu dilihat menghampiri kawasan hadapan rumah secara perlahan sebelum membongkok di tempat beberapa pasang kasut dan selipar diletakkan.
“Tidak sampai seminit aku masuk rumah, kau sudah ‘rembat’ selipar RM30 aku. Baru beli tiga hari, tahu tak,” tulis pemilik akaun berkenaan pada hantaran tersebut.
Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial, termasuk ada yang mempersoalkan tindakan wanita terbabit yang kelihatan sedang sarat mengandung.
“Astaghfirullahalazim, sudahlah tengok gaya macam mengandung. Ya Allah,” komen @_nurulfazreen.
“Kot mengidam kot? Kawan saya ada sorang macam tu. Lepas bersalin, dia pulangkan balik selipar dicuri,” komen @shazie.
“Kadang mencuri ni bukan kepada memerlukan sangat pun, lebih kepada tabiat,” komen @seralegacy pula. – KOSMO! ONLINE
















