PETALING JAYA – Satu pusara didakwa mengalami mendapan tanah sehingga membentuk lubang, dalam kejadian di Tanah Perkuburan Islam Gurap, Ipoh.
Menerusi video dikongsikan pengguna Threads Tuandenan, dia memuat naik keadaan pusara seorang lelaki yang meninggal dunia pada Januari 2021 ketika Allahyarham berusia 73 tahun.
“Waris tolong datang ke Gurap ni, tengok ni dah berlubang dah, dalam ni,” kata lelaki tersebut.
Video berkenaan mendapat pelbagai maklum balas termasuk daripada pengguna Threads Mohd Khairi Mohd Noor yang dipercayai mengenali waris Allahyarham.
“Alhamdulillah, saya dah maklumkan kepada waris. Terima kasih semua yang terlibat,” katanya.
Sementara itu, orang ramai berkongsi pendapat berkemungkinan kejadian itu disebabkan pelbagai faktor seperti pergerakan tanah dan ia adalah perkara biasa yang kadangkala berlaku di tanah perkuburan.
“Pergerakan bawah tanah, rasanya kena tunggu setahun macam tu baru boleh letak kepok. Jangan letak terlalu awal sebab tanah masih belum padat lagi. Nak letak boleh, tapi kena kerap pantau. Sebab tu orang selalu tunggu setahun, baru boleh letak kepok,” komen pengguna Threads Allyson Elly.
“Tanah mendap ni, kubur arwah ayah hari tu nak buat kepok, tapi orang kubur cakap tak boleh lagi sebab tanah mendap,” komen Nadia Borhan.
“Allah, semoga post (hantaran) ni sampai ke family (keluarga) arwah,” kata Nur Afiqah. – KOSMO! ONLINE
















