BANGKOK – Agensi angkasa Thailand sedang mengenal pasti asal usul sebuah objek menyerupai serpihan angkasa yang ditemukan terdampar di Pulau Mai Phai di Krabi, lapor laman berita Thaiger.
Objek itu ditemukan berhampiran sebuah stesen renjer di Taman Negara Hat Noppharat Thara-Mu Ko Phi Phi pada 1 November lalu, namun asal usulnya masih belum dikenal pasti.Â
Agensi Pembangunan Teknologi Geoinformatik dan Angkasa Lepas (GISTDA) mengerahkan pasukan daripada Pusat Penyelidikan Teknologi Angkasa (S-TREC) ke lokasi bagi memeriksa dan mengambil objek berkenaan pada Khamis lalu.Â
Operasi itu dijalankan dengan kerjasama Pusat Pemerintahan Penguatkuasaan Maritim Thailand cawangan Krabi serta pegawai taman negara untuk meneliti maklumat berkaitan penemuan dan penyimpanannya.Â
Susulan pemeriksaan itu, GISTDA membawa objek tersebut ke Taman Inovasi Angkasa di Chon Buri untuk menjalani analisis kejuruteraan secara terperinci.Â
Analisis itu bertujuan untuk menentukan asal usul objek tersebut, dengan GISTDA dijangka mengumumkan hasil pemeriksaan sebaik proses berkenaan selesai.
GISTDA turut memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak menyentuh atau mengalihkan sebarang objek yang disyaki serpihan angkasa kerana dikhuatiri mengandungi bahan kimia berbahaya.Â
Individu yang menemukan objek seumpama itu diminta mengambil gambar, merekodkan lokasi penemuan dan segera memaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan atau GISTDA. – AGENSI
















