PETALING JAYA – Tiada sebarang serpihan objek angkasa termasuk roket ditemukan di daratan atau perairan Malaysia setakat ini susulan penampakan cahaya terang di beberapa kawasan ruang udara negara, Rabu lalu.
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi Bahagian Penguasa Angkasa (BPAngkasa) mengesahkan telah menerima maklumat awal berhubung laporan penampakan cahaya terang, kelmarin.
“Penampakan cahaya itu turut dikaitkan dengan kemasukan semula (re-entry) Satelit Balai Cerap Neil Gehrels Swift milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA).
“Setakat ini, tiada sebarang laporan rasmi mengenai penemuan serpihan objek yang disyaki berasal dari angkasa di mana-mana lokasi di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, menurut kenyataan itu, pemantauan secara aktif sedang dijalankan BPAngkasa dengan kerjasama agensi berkaitan bagi mengikuti perkembangan situasi berkenaan.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyentuh sebarang objek mencurigakan sekiranya ditemukan, sebaliknya segera melaporkannya kepada pihak berkuasa.
Sebarang maklumat boleh disalurkan menerusi talian kecemasan 999 atau terus kepada BPAngkasa di talian 03-8885 8685 atau e-mel [email protected].
Semalam Kosmo! melaporkan, fenomena objek bercahaya dengan ekor berapi melintasi ruang udara negara mencetuskan tanda tanya dalam kalangan penduduk selepas ia kelihatan di beberapa lokasi termasuk Langkawi, Pahang dan Johor.
Kejadian itu turut menarik perhatian pengguna media sosial yang berkongsi pengalaman menyaksikan objek berkenaan bergerak pantas di langit sebelum menghilang daripada pandangan. – KOSMO! ONLINE
















