SEREMBAN – Jangan terlalu ghairah mencelah atau mengekori rapat lori dan bas kerana tindakan itu boleh mengundang tragedi apabila kenderaan kecil berada di kawasan titik buta yang tidak dapat dilihat pemandu kenderaan berat.
Amaran itu diberikan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan yang mengingatkan pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati, terutama menjelang sambutan Deepavali apabila jumlah kenderaan dijangka meningkat sehingga 100 peratus berbanding hari biasa.
Pengarahnya, Jasyindar Singh Sidhu berkata, pemandu kenderaan berat perlu memastikan keadaan sekeliling selamat sebelum menukar lorong atau membelok berikutan terdapat kawasan tertentu yang tidak dapat dilihat menerusi cermin sisi.
Katanya, kenderaan kecil yang berada terlalu hampir dengan lori atau bas berisiko tidak disedari, sekali gus boleh mengundang kemalangan apabila kenderaan berat melakukan pergerakan.
“Jarak jangan terlalu dekat dengan kenderaan besar kerana titik buta itu memang antara punca berlakunya kemalangan.
“Bagi kenderaan besar, saya harap pemandu lebih berhati-hati sebelum beralih ke lorong seterusnya dan memeriksa bahagian cermin sisi supaya tiada kenderaan kecil terlalu hampir,” katanya kepada pemberita pada Program Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena sambutan Deepavali di Seremban hari ini. – KOSMO! ONLINE
















