PUTRAJAYA- Peletakan jawatan Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan akan berkuat kuasa serta-merta sebaik sahaja bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjejakkan kaki ke rumahnya selepas dibenarkan menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah.
Anthony berkata, beliau tetap dengan pendirian untuk melepaskan jawatan itu susulan keputusan Lembaga Pengampunan membenarkan Najib menjalani baki hukuman melalui tahanan rumah.
Beliau berkata, surat peletakan jawatan sudah dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 28 September lalu, namun diminta untuk terus menjalankan tugas sehingga isu pembayaran RM50 juta diselesaikan dan Najib dibenarkan pulang ke rumah.
Menurutnya, pembayaran RM50 juta itu telah diselesaikan di Mahkamah Tinggi pagi tadi, namun beliau dimaklumkan Najib masih belum dibenarkan pulang kerana dibawa ke klinik pergigian bagi menjalani pemeriksaan yang telah dijadualkan.
“Namun begitu, pendirian saya tidak berubah. Pendirian saya jelas dan saya telah pun memaklumkan kepada Ketua Setiausaha serta pegawai-pegawai kementerian bahawa sejurus Najib sampai ke rumahnya, peletakan jawatan saya berkuat kuasa serta-merta.
“Kalau malam ini dia jejak rumah, malam inilah berkuat kuasa. Kalau esok, esoklah,” katanya ketika dalam sidang akhbar khas selepas menghadiri mesyuarat pasca Kabinet Kementerian Pengangkutan di sini hari ini.
Beliau berkata, satu surat tambahan akan dihantar kepada Perdana Menteri bagi memaklumkan tarikh kuat kuasa peletakan jawatan berkenaan memandangkan surat asal sudah dikemukakan sebelum ini.
Loke berkata, keputusan itu juga mencerminkan pendirian DAP terhadap pemberian tahanan rumah kepada Najib, yang disifatkan berpotensi menyampaikan mesej tidak wajar kepada generasi akan datang susulan skandal yang memberi kesan besar kepada ekonomi dan imej negara.
Bagaimanapun, beliau menegaskan DAP tetap menghormati kuasa serta prerogatif Yang di-Pertuan Agong dalam urusan pengampunan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Dalam pada itu, beliau berkata, segala perancangan Kementerian Pengangkutan akan diteruskan seperti biasa meskipun beliau meninggalkan jawatan berkenaan.
Antara inisiatif yang akan diteruskan termasuk pelaksanaan MyCommuter50 menjelang Disember ini, selain operasi Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) pada 12 Disember dan perkhidmatan Sistem Transit Rapid (RTS) yang dijadual menyusul pada Februari.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Anwar atas kepercayaan dan mandat yang diberikan sepanjang 47 bulan menerajui Kementerian Pengangkutan sejak Disember 2022.
Anthony berkata, beliau akan terus memberikan sokongan kepada kementerian dan pegawai-pegawainya walaupun tidak lagi memegang jawatan menteri memandangkan beliau kekal sebagai Ahli Parlimen.
Setiausaha Agung DAP sebelum ini menyatakan pendirian untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan sebaik sahaja Najib dibebaskan dari penjara bagi menjalani baki hukuman menerusi tahanan di rumah. – KOSMO! ONLINE
















