PETALING JAYA – Baru sahaja Aliff Daniel Adli bersama ibu dan adik perempuannya melafazkan taubat serta mengucapkan dua kalimah syahadah, tiba-tiba muncul pula video di mana enam orang lelaki mengakui sudah murtad daripada agama Islam yang dikatakan ‘versi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)’.
Menerusi sebuah video yang dikongsi di laman Threads, seramai enam individu itu memperkenalkan diri mereka berasal dari Malaysia yang mana antaranya dipercayai berasal dari Johor, Kelantan dan Kuala Lumpur.
Dalam video itu, terdapat individu melafazkan dua kalimah syahadah sebelum mengaku murtad daripada Islam Jakim kerana katanya, Islam sebenar adalah taat kepada Allah SWT serta Nabi Muhammad dan wasiatnya.
Selain itu, ada individu turut mendakwa kini mengikuti ajaran didakwa Islam sebenar iaitu agama Ahmadi Keamanan dan Cahaya.
Tinjauan di ruang komen mendapati seorang pengguna berkata, video berkenaan mungkin mempunyai kaitan dengan ajaran sesat The Ahmadi Religion of Peace and Light (TAROPAL).
“Ajaran sesat The Ahmadi Religion of Peace and Light (TAROPAL). Mereka orang Malaysia tapi di luar negara ..rasanya di US (Amerika Syarikat) kumpulan ni,” kata Diana.
Selain itu, seorang pengguna mendakwa pernah berdepan dengan individu yang mempunyai kepercayaan sama.
“Saya pernah cuba tanya pengikut mereka secara berilmiah. Betul-betul mereka ni dah dipesongkan dengan ideologi Mirza Ghulam Ahmad. Mungkin ada alasan peribadi (duit, kebebasan) tapi mereka tak pernah mengaku apa sebab mereka pilih untuk memesongkan akidah sendiri,” kata Frankie. – KOSMO! ONLINE
















