TELUK INTAN – Seorang wanita warga emas ditemukan lemas selepas tiga hari dilaporkan terjatuh ke dalam Sungai Perak di Jeti Kampung Terengganu, di sini kelmarin.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa yang berusia 74 tahun dijumpai pada pukul 10.50 pagi tadi oleh pasukan penyelamat di kawasan Batu 8.
Katanya, mayat mangsa yang dijumpai pada jarak 30 kilometer (km) dari lokasi dia dipercayai terjatuh dibawa ke Jeti Pokok Asam untuk tindakan lanjut.
“Mangsa ditemukan pada jarak 30km oleh Unit Anjing Pengesan (K9) dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat diaktifkan selepas pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian lemas pada pukul 3.54 petang kelmarin.
Sebaik tiba, pihak bomba mendapati sebuah motosikal dan sepasang kasut dipercayai milik mangsa ditemukan di tempat kejadian.
Operasi mengesan mangsa disertai 17 anggota dengan dibantu anggota polis dan Angkatan Pertahanan Awam tamat pada pukul 1 tengah hari. – KOSMO! ONLINE
















