Ahmad Taqiuddin menunjukkan sebahagian blok batik diperbuat daripada kertas terpakai di bengkel perusahaannya di Kampung Raja, Besut semalam.

Rezeki R&D lima tahun lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BESUT – Seorang usahawan muda berjaya mencipta inovasi menghasilkan blok batik daripada kertas terpakai yang lebih ekonomikal berbanding pembuatan konvensional menggunakan material tembaga dan besi.

Ahmad Taqiuddin Muhammad, 31, berkata, blok batik diperbuat daripada kertas terpakai masih mampu menghasilkan terapan corak yang berkualiti di atas lembaran kain biarpun kos pembuatannya lebih tiga kali ganda jauh lebih murah.

“Saya sebelum ini berpe­ngalaman hampir 10 tahun dalam pembuatan blok batik untuk kegunaan pengusaha produk tekstil berkenaan.

“Asalnya blok batik buatan saya juga diperbuat daripada material tembaga atau besi sebelum melaksanakan penyelidikan dan pembangunan menghasilkan blok batik yang mudah dibuat dan lebih murah untuk meme­nuhi keperluan pengusaha kira-kira lima tahun lalu,” katanya ketika ditemui di bengkel perusahaannya di Kampung Raja, di sini, semalam.

Ahmad Taqiuddin berkata, kos pembuatan blok batik daripada kertas terpakai antara RM35 hingga RM90 seunit.

Beliau berkata, ia jauh lebih murah berbanding blok batik da­ripada meterial tembaga atau besi boleh mencecah RM300 seunit.

“Seunit blok batik diperbuat daripada kertas terpakai juga boleh disiapkan dalam tempoh sejam sahaja berbanding tiga hari bagi pembuatan konvensional.

“Selain kertas terpakai, pembuatan blok batik tersebut juga sekadar memerlukan gam, gun­ting, pensel, pen dan kertas pasir,” katanya.

Ahmad Taqiuddin berkata, blok batik kertas terpakai mampu bertahan sehingga lima tahun biarpun kerap dicelup lilin berulang kali bagi menghasilkan kain batik.

Menurutnya, beliau masih meneruskan R&D bagi meningkatkan mutu penghasilan blok batik kertas terpakai tersebut terutama bagi mengukuhkan bahagian pemegangnya.

“Setakat ini, saya telah berjaya menjual 500 unit blok batik kertas terpakai ini sejak ia mula dikomersialkan kira-kira dua tahun lalu.

“Permintaan bukan sekadar daripada pengusaha batik negeri ini dan Kelantan malah dari Kedah dan Melaka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN