Berbaki 13 hari lagi menjelang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), calon perlu bijak mengurus masa dan emosi bagi memastikan tumpuan terhadap persediaan akademik tidak terganggu dengan masalah peribadi, terutama membabitkan konflik persahabatan.
Dalam tempoh genting ini, pelajar bukan sahaja perlu bekerja keras mengulang kaji pelajaran, malah dituntut lebih matang mengendalikan hubungan sosial supaya perkara yang boleh dielakkan tidak menjadi beban fikiran menjelang peperiksaan kelak.
Pensyarah Kanan (Bimbingan dan Kaunseling), Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Syed Abdullah berkata, calon SPM perlu sedar baki masa yang ada amat berharga dan tidak wajar disia-siakan dengan melayan perkara yang tidak membawa manfaat kepada diri mereka.
Menurut beliau, pelajar perlu bijak membahagikan masa antara ulang kaji, rehat dan aktiviti harian selain menetapkan keutamaan jelas supaya persediaan menghadapi peperiksaan berjalan lancar.
Katanya, dalam tempoh itu, pelajar juga perlu lebih berhati-hati memilih rakan kerana hubungan persahabatan yang tidak sihat berpotensi mencetuskan konflik sehingga mengganggu emosi dan tumpuan belajar.
“Bagi saya, kalau benda itu bukan satu masalah, jangan cari masalah. Kita perlu tahu apa yang patut diberikan perhatian dan apa yang sebaiknya dibiarkan berlalu,” katanya di sini.
Katanya, pelajar tidak seharusnya menganggap tempoh menjelang SPM sebagai masa bagi terlalu memikirkan masalah rakan sebaya, sebaliknya mengutamakan usaha mencapai keputusan diimpikan.
Jelasnya, nilai persahabatan tetap penting, namun pelajar perlu lebih berhati-hati dalam pergaulan, termasuk dengan rakan yang sudah dikenali bertahun-tahun, kerana salah faham boleh berlaku dalam apa-apa hubungan.
Jelasnya, komunikasi tidak jelas atau salah faham mungkin menjadi punca ketegangan sesama rakan. Justeru, pelajar perlu mengelakkan tindakan terburu-buru yang boleh memburukkan keadaan.
“Sekiranya menyedari diri melakukan kesilapan, pelajar disaran berani mengakuinya dan memohon maaf. Pada masa sama, mereka perlu mengawal reaksi serta tidak bertindak secara berlebihan ketika berhadapan dengan perselisihan faham.
“Dalam keadaan tertentu, pelajar boleh mengambil sedikit ruang untuk menenangkan diri tanpa memutuskan hubungan secara mendadak atau menunjukkan reaksi bermusuhan terhadap rakan berkenaan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menyarankan agar pelajar menilai lingkungan persahabatan masing-masing dengan mengekalkan hubungan bersama rakan yang memberikan pengaruh positif, manakala hubungan berpotensi mencetuskan konflik boleh diberikan sedikit jarak buat sementara waktu.
Pada masa sama, calon perlu menetapkan matlamat jelas dan membina motivasi dalaman dengan membayangkan kejayaan yang ingin dicapai sebagai hasil usaha serta pengorbanan sepanjang tempoh persediaan.
Menurutnya, pelajar boleh menjadikan ganjaran kepada diri sendiri selepas tamat peperiksaan sebagai dorongan untuk terus berdisiplin, sekali gus mengingatkan mereka pengorbanan yang dilakukan ketika ini hanya untuk tempoh yang terhad.
















