LEDAKAN populariti yang memanaskan namanya tidak sesekali melalaikan Zarif Ghazzi, sebaliknya digulung kemas sebagai amanah besar untuk terus mengangkat mutu lakonannya ke tahap lebih tinggi. Tidak mendonggak ke langit, dia bahkan masih membumi ‘mengemis’ ilmu daripada selebriti senior untuk memantapkan ilmu di dada. - IQBAL ROSLI

‘Paling saya takut, jika populariti tidak seiring kualiti’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

POPULARITI yang semakin memuncak bukan tiket untuk seseorang anak seni berasa selesa, sebaliknya hadir bersama tanggungjawab besar untuk memastikan kualiti lakonan sentiasa seiring dengan perhatian yang diterima.

Perkara itu menjadi pegangan Zarif Ghazzi yang mengakui bimbang sekira hanya nama semakin dikenali, namun kemampuan lakonannya masih belum mencapai tahap yang diharapkan industri dan peminat.

Untuk bintang yang kini meledak dengan filem Kudrat 1968: High Council dengan watak Abbas itu, populariti tanpa kemahiran dan kualiti lakonan yang kukuh hanya akan mewujudkan jurang antara penerimaan peminat dengan kemampuan sebenar seseorang anak seni.

SEDANG digilai peminat khususnya golongan wanita, paling ditakuti Zarif Ghazzi ketika ini adalah jika popularitinya tidak setanding kualiti dan kemahiran lakonannya.

Populariti

“Perkara paling saya takut adalah ketika populariti saya tidak setaraf dengan kemahiran dan kualiti apa yang saya ada.

“Populariti yang diraih hari ini perlulah selaras dengan kualiti lakonan saya. Menjadi terkenal juga adalah tanggungjawab besar sebab selepas dikenali ramai, saya perlu menjaga nama baik, kualiti lakonan dan maruah keluarga,” katanya kepada HibGlam.

Justeru, Zarif tidak mahu sekadar mengejar populariti, sebaliknya berusaha memperkukuh ilmu dan kemahiran lakonan menerusi pelbagai platform pembelajaran termasuk kelas serta bengkel lakonan.

Tidak hanya bergantung kepada pujian, Zarif turut terbuka menerima teguran termasuk kritikan yang disampaikan secara terus oleh penonton menerusi media sosial.

“Ada yang hantar komen menerusi mesej dalam media sosial dengan memberitahu tentang lakonan saya kononnya macam kurang bagus.

“Tidak kecil hati sebaliknya mengambil itu semua sebagai maklum balas untuk saya terus mempertingkatkan kualiti setiap naskhah lakonan selepas ini.

“Terima kasih atas segala nasihat, kritikan dan pujian, saya hargai dan terima dengan berlapang dada,” katanya lagi.

Dalam pada itu, pelakon berusia 22 tahun itu sedar peningkatan populariti turut menjadikan setiap gerak-geri dan tindakannya lebih mudah mendapat perhatian masyarakat.

Perhatian mendadak itu sekali gus menuntutnya supaya sentiasa berhati-hati dalam pergaulan dan penggunaan media sosial.

“Saya tahu jejak digital (digital footprint) ini sangat bahaya dan boleh memakan tuannya sendiri.

“Paling saya jaga adalah tingkah laku dalam media sosial. Bila kita di atas akan sentiasa ada musuh yang menunggu untuk menjatuhkan kita.

“Semakin terkenal, semakin besar dan berat tanggungjawab saya. Insya-Allah dengan doa keluarga, peminat, ibu bapa dan orang sekeliling yang mengangkat saya, saya akan terus kekal,” ujarnya.

Meniti fasa popular, bintang drama Cela itu mengakui didikan keluarga banyak membentuk keperibadian terutama dalam memastikan dirinya tidak mudah hanyut dengan kemasyhuran yang dimiliki hari ini.

“Ke mana pun kita pergi, ‘common sense’ adalah nombor satu. Itu yang keluarga saya banyak pesan.

“Walaupun berilmu tapi kalau tiada pertimbangan akal budi, saya tidak rasa boleh pergi jauh atau disukai ramai. Ada semua itu, barulah orang hormat,” jelasnya.

Dalam masa sama, anak kelahiran Johor itu tidak menafikan perjalanan kerjayanya turut menuntut usaha untuk mengubah persepsi penonton yang masih mengingatinya menerusi imej sebagai pelakon remaja.

“Memang satu cabaran untuk saya memecahkan stereotaip orang. Sebab itulah setiap projek yang saya pilih perlu berlainan karakter dan umur.

“Macam tahun lepas, beberapa karakter saya sebagai lelaki umur lewat 20-an atau awal 30-an, tahun ini watak budak sekolah dan insya-Allah tahun depan jadi dewasa semula.

“Walaupun umur saya masih muda, kepelbagaian itu penting supaya kemampuan lakonan saya tidak dilihat terhad,” tuturnya.

Melihat namanya semakin meledak selain memiliki jumlah peminat yang kian besar, dia menghargai setiap sokongan yang bukan sahaja menerima karya lakonannya, malah memahami batas privasi sebagai seorang anak seni.

“Alhamdulillah saya bersyukur dikelilingi rakan-rakan yang baik dan peminat yang memahami serta menghormati sempadan privasi.

“Terima kasih kerana sokong naskhah tempatan, kalau bukan rakyat kita yang sokong, siapa lagi mahu,” tuturnya.

Sempat juga Zarif ditanya bagaimana Abbas memberi impak cukup mendalam corak pemikirannya, Zarif mengakui karakter tersebut secara peribadi mendidiknya lebih menghargai kehidupan dan sentiasa bersyukur.

MENJADI Abbas bukan menuntut satu karakter yang kuat fizikal dan mental, dalam masa sama meninggalkan satu pemikiran berbeza buat Zarif. Dia menjadi seorang individu yang lebih menghargai dan mensyukuri kehidupan.

Abbas

“Abbas ajar saya erti bersyukur kerana perwatakannya bagaikan langit dengan bumi jika dibandingkan dengan diri saya.

“Walau sesusah mana pun keadaan , saya percaya ada orang lain yang berdepan ujian lebih getir dan itulah pengajaran terbesar yang Abbas titipkan kepada diri saya,” ujarnya.

Mendasari keperibadian Abbas, Zarif mengakui sengaja merangka keperibadian watak jejaka itu agar berbeza sepenuhnya daripada identiti asalnya sewaktu proses pembentukan karakter dilakukan.

“Sejujurnya agak sukar untuk saya menilai lakonan sendiri dalam setiap karya, namun sewaktu merangka karakter Abbas, saya memang mahu perwatakannya lari jauh daripada personaliti sebenar Zarif Ghazzi.

“Apabila menonton Kudrat 1968, saya amat berpuas hati dan terhibur kerana apa yang terpapar di hadapan mata, bukan lagi Zarif Ghazzi, melainkan susuk Abbas itu sendiri,” jelasnya.

KELUAR dari dunia ‘High Council’, Zarif bakal muncul menerusi naskhah Dua Nyawa bergandingan dengan Puteri Balqish yang disifatkan genius mengangkat level pasangannya. – IQBAL ROSLI

Dua Nyawa

Beralih kepada perkembangan terbaharu kerjaya seni, Zarif kini tampil menerusi drama bersiri Dua Nyawa arahan Riza Baharuddin yang menemukannya dengan Puteri Balqis, Jazmy Juma, Vanidah Imran dan Kodi Rasheed.

Mengakui berasa bertuah menerima peluang tersebut, dia menyifatkan pengalaman bekerja bersama pelakon berpengalaman sebagai ruang terbaik untuk mempelajari selok-belok industri serta meningkatkan kualiti lakonannya.

“Ini kali pertama bekerja dengan Puteri Balqis. Sangat bersyukur dapat bekerjasama dalam kalangan pelakon hebat dan ‘A-list actor’ untuk drama ini.

“Setiap hari saya ke set penggambaran seperti murid yang pergi ke sekolah untuk menimba ilmu.

“Banyak ilmu dan kata-kata nasihat yang saya dapat di set Dua Nyawa, semuanya sangat berguna untuk saya yang masih hijau dalam industri ini,” ujarnya.

Dia bahkan tidak pernah berasa segan untuk merendahkan diri demi mendapatkan sebanyak mungkin ilmu daripada pelakon yang lebih berpengalaman.

“Kalau boleh, saya sudah tunduk merangkak dah sebab memang nak ambil sangat ilmu mereka.

“Pengalaman dan ilmu yang dimiliki barisan pelakon hebat sangat berharga untuk saya bawa 20, 30 tahun dalam industri hiburan ini,” jelasnya.

Bakal disiarkan 13 November nanti, Zarif mengakui awalnya bimbang kerana meletakkan jangkaan tinggi terhadap kemampuan Aqish yang dianggap sebagai bakat luar biasa.

Kebimbangan tersebut bagaimanapun memudar selepas menjalani babak bersama dan melihat cara Aqish bekerja yang tidak ‘memakan’ gandingannya.

“Hari pertama penggambaran, saya lihat cara Aqish bekerja dan sedar mengapa dia dipilih pegang watak Farhana, komitmennya sangat tinggi dan hasilnya hebat.

“Umum tahu tentang kualiti lakonannya tetapi bila berlakon secara berpasangan, dia tahu macam mana nak ‘angkat’ pasangan dia. Hasilnya bukan secara individu tetapi bersama,” katanya ketika mengakhiri perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN