PERNAH ligat menantang kontroversi dan kisah sensasi, Fatin Afeefa akhirnya menemui damai yang barangkali itulah tersusun indah buat dirinya. Wanita bertubuh kecil molek itu enggan lagi dihambat kesibukan duniawi sebaliknya menyerahkan seluruh jiwa buat keluarga, suami dan anak-anak.

‘Mengapa tidak bertudung dalam filem? saya pun gementar fikir…’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEMUNCULAN semula Fatin Afeefa menerusi layar perak selepas sekian lama menyepi daripada dunia lakonan mengundang pelbagai tanda tanya, apatah lagi pelakon itu sebelum ini sudah mengumumkan persaraan secara rasmi daripada bidang seni.

Lebih mencuri perhatian, penampilan Fatin tanpa hijab dalam filem seram Bisikan mencetuskan perbualan hangat dalam kalangan netizen, memandangkan dia kini muncul dengan imej Muslimah selepas melalui fasa penghijrahan.

Hakikatnya, karya arahan Opie Zami yang menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia bermula 19 November itu merupakan antara naskhah terakhir disempurnakannya sebelum meninggalkan dunia lakonan demi memberi perhatian sepenuhnya kepada keluarga.

Didakwa sengaja ‘membuang’ hijab dalam filem terbabit, pemilik nama sebenar Fatin Nur Afifah Shamsudin itu menjelaskan salah faham dengan menegaskan penggambaran filem itu berlangsung sekitar enam tahun lalu ketika dia belum bertudung.

“Saya tahu apabila filem ini ditayangkan nanti, mungkin ada orang tertanya-tanya mengapa saya tidak bertudung. Saya pun agak gementar memikirkannya kerana sekarang penampilan saya sudah berbeza.

“Tapi, saya perlu mengingatkan orang ramai bahawa filem ini menjalani penggambaran enam tahun lalu. Kalau mereka perhatikan wajah saya dalam treler, pasti nampak perbezaannya kerana ketika itu saya sedikit berisi.

“Saya menghargai penerbit kerana memahami keadaan saya. Saya tidak boleh sesuka hati meminta mereka membatalkan tayangan sedangkan ratusan orang terbabit dalam pembikinan filem ini.

“Saya sudah menyelesaikan kerja saya ketika itu, cuma filem ini baru mahu ditayangkan sekarang,” katanya kepada HibGlam.

BELUM berhijab ketika terlibat dalam filem Bisikan, Fatin berharap masyarakat memahami situasi sebenar dan tidak membuat kesimpulan terburu-buru hanya berdasarkan paparan treler.

Bersara demi keluarga

Mengimbas kembali detik mula menjauhkan diri daripada dunia seni, bintang filem Tentang Bulan itu berkata, pengalaman membesarkan dua anak sebagai ibu tunggal selama tujuh tahun membuka matanya tentang harga mahal terpaksa dibayar demi mengejar kelangsungan hidup.

“Selepas bercerai, saya menjadi ibu tunggal selama tujuh tahun dan menanggung sepenuhnya perbelanjaan dua orang anak. Saya bekerja keras untuk memastikan mereka mendapat kehidupan terbaik, tetapi tanpa sedar, saya banyak terlepas momen membesarkan mereka.

“Pernah juga anak bertanya, ‘Mummy, tak ada cuti ke?’ Soalan itu betul-betul menyentuh hati saya. Ada masanya saya pulang ketika mereka sudah tidur dan keluar bekerja sebelum mereka bangun,” ujarnya.

Paling penting kata Fatin, keputusan meninggalkan dunia seni ketika itu juga mengambil kira permintaan suaminya, Aliff Awang atau Opai agar dia memberikan keutamaan kepada keluarga.

“Selepas berkahwin, suami pernah meminta saya berhenti menyanyi kerana baginya suara wanita juga sebahagian daripada aurat. Dia turut berharap saya tidak lagi menerima tawaran berlakon kerana mahu kami memberikan perhatian kepada keluarga.

“Pada awalnya, saya masih belum benar-benar memahami pandangannya. Namun, selepas mengandung dan melahirkan anak, barulah sedar mengapa dia mahu saya berada di rumah. Dia mahu saya melihat sendiri anak-anak membesar,” jelasnya.

Dalam pada itu, Fatin turut menjelaskan perubahan penampilannya dengan berhijab bukanlah disebabkan paksaan suami, sebaliknya lahir daripada kesedaran dan keinginan sendiri selepas pulang menunaikan umrah.

“Suami tidak pernah memaksa saya bertudung dan ada membelikan saya tudung. Kemudian saya mula bertudung selepas pulang umrah. Ketika itu, timbul rasa malu kepada Allah yang memberikan hidayah dan menyedarkan bahawa sudah tiba masanya untuk berubah.

“Bagi saya, perubahan itu datang daripada hati sendiri. Suami memang memainkan peranan dalam membimbing keluarga, tetapi keputusan untuk berhijab tetap atas kemahuan saya,” tegasnya.

FATIN menegaskan persaraannya bukan sekadar berehat sementara atau mengambil cuti panjang daripada kesibukan penggambaran sebaliknya mahu menutup lembaran kerjaya lakonan demi memberikan perhatian kepada keluarga.

Kebal kecaman

Menikmati kehidupan lebih tenang bersama keluarga, anak seni kelahiran Kuala Lumpur itu tidak terlepas daripada menjadi sasaran kecaman netizen, terutama apabila dia mula memperlahankan langkah dalam industri hiburan.

Adakala kecaman terhadap dirinya turut melibatkan perkara lama sehingga dia berasakan tidak ada gunanya melayan setiap dakwaan atau membuka ruang kepada orang lain untuk mengorek kisah silamnya.

“Dahulu, kalau orang mengata, saya memang menangis. Ada masa saya mengurung diri berhari-hari sehingga mata bengkak dan terpaksa pergi penggambaran dalam keadaan begitu.

“Sekarang saya sudah tidak mahu membazir masa memikirkan perkara sebegitu. Kalau orang mahu bercakap buruk, biarkan. Kalau mereka mahu bercakap baik, alhamdulillah. Saya tidak boleh mengawal mulut orang, tetapi saya boleh mengawal bagaimana saya bertindak balas.

“Sekarang kalau ada orang mengutuk, saya lebih rela pergi ke spa atau buat rawatan wajah. Saya mahu menikmati kehidupan sendiri daripada membiarkan orang lain menentukan emosi saya,” selorohnya.

SELEPAS mendirikan rumah tangga semula dan dikurniakan cahaya mata, Fatin berkata keinginan untuk menjadi ibu lebih baik semakin kuat apabila melihat sendiri betapa pantas anak-anak membesar.

Kahwin satu perjudian

Beralih kepada soal rumah tangga, Fatin turut berkongsi pandangan mengenai keharmonian perkahwinan serta fenomena wanita masa kini mengimpikan pasangan berstatus green flag atau lelaki matang, bertanggungjawab dan mampu menyediakan kehidupan selesa.

Ujarnya, wanita juga perlu mempunyai kemampuan mengurus kewangan sendiri sebelum mengharapkan lelaki mengambil alih sepenuhnya tanggungjawab menyara kehidupan.

“Untuk mengekalkan keharmonian rumah tangga, suami dan isteri perlu bergerak bersama. Jangan terlalu melihat kehidupan orang lain, kemudian menjadikannya ukuran kebahagiaan sendiri.

“Sekarang ramai wanita bercakap tentang mahu lelaki green flag, lelaki mampu menyediakan segala-galanya atau menjadi penyara keluarga. Tetapi persoalannya, adakah diri sendiri juga mampu menjadi pasangan begitu?

“Sebelum berkahwin, bolehkah kita membayar kereta sendiri, membantu ibu bapa dan mempunyai simpanan? Jangan bekerja sekejap, berhenti, kemudian mengharapkan suami bergaji RM10,000 dan memberikan RM2,000 setiap bulan. Perkara begitu tidak masuk akal,” ungkapnya

Malah, Fatin turut menepis tanggapan segelintir pihak mendakwa dia mendirikan rumah tangga bersama Opai kerana mengejar kemewahan.

“Ketika berkahwin dengan Opai, ada orang mengatakan saya mengejar hartanya. Hakikatnya, sebelum mengenalinya, saya sudah membeli kereta sendiri, membayar semua bil dan menanggung perbelanjaan persekolahan anak-anak.

“Kalau kita mahukan lelaki berstatus green flag, kita sendiri perlu menjadi wanita berkualiti. Kalau mahukan lelaki kaya, sekurang-kurangnya kita perlu mempunyai kewangan stabil, simpanan dan kebijaksanaan mengurus duit. Jangan hanya tahu mengharapkan orang lain,” tutupnya.

FATIN memilih untuk tidak melayan komen negatif kerana percaya segelintir individu sengaja mencetuskan provokasi bagi mendapatkan reaksi daripadanya.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN