BAGNAIA berdepan kemerosotan prestasi teruk apabila sekadar menghuni kedudukan kesembilan carta pelumba.

F1: Ducati harapkan magis Bagnaia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LUSAIL – Ketua Pegawai Eksekutif Ducati, Claudio Domenicali berharap Francesco ‘Pecco’ Bagnaia mampu menemui semula sentuhan terbaiknya dalam baki tiga pusingan musim ini, sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan itu pada penghujung musim.

Bagnaia mencipta legasi tersendiri sepanjang lapan musim bersama Ducati dalam kelas perdana MotoGP dan pelumba Itali itu merekodkan dua gelaran dunia pada 2022 dan 2023, selain mengumpul 31 kemenangan perlumbaan untuk muncul antara pelumba paling berjaya dalam sejarah pasukan berkenaan.

Namun, musim 2026 menjadi episod sukar buat pelumba berusia 29 tahun itu apabila dia kini menghuni tangga kesembilan keseluruhan carta kejuaraan.

Lebih mengecewakan, Bagnaia sudah lebih setahun tidak meraih kemenangan, malah gagal menaiki podium sejak tamat cuti musim panas, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kemerosotan prestasinya.

Kegagalan menyerlah di litar kegemarannya pada GP Malaysia di Sepang minggu lalu turut menguatkan kebimbangan itu namun, Domenicali menegaskan pihaknya tidak pernah meragui bakat dan kemampuan pelumba berkenaan.

“Bagi saya, Pecco tidak kekurangan apa-apa, sama ada dari segi bakat mahupun hubungan akrabnya dengan pasukan. Cuma kami masih belum menemui kunci penyelesaian kepada situasi yang membelenggunya ketika ini,” katanya.

Kemerosotan prestasi Bagnaia itu berbeza dengan pencapaian rakan sepasukannya, Marc Marquez, yang berada di landasan untuk memburu gelaran dunia kelas perdana kelapannya di GP Qatar hujung minggu ini.

Bagnaia pula bakal meninggalkan Ducati pada penghujung musim ini dengan tempatnya dalam pasukan kilang itu dijangka diisi pelumba Sepanyol, Pedro Acosta yang akan berhijrah dari KTM. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN