SEREMBAN – “Setakat hari ini saya Menteri Besar.”
Demikian penegasan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim ketika diminta mengulas spekulasi kononnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias bakal menggantikannya sebagai Menteri Besar.
Ismail berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan yang mengaitkan Jalaluddin dengan jawatan tertinggi kerajaan negeri itu.
Bagaimanapun, beliau tidak mengulas lanjut mengenai perkara berkenaan dan hanya memberikan jawapan ringkas ketika ditemui pada Perasmian Karnival Bazar Deepavali Little India di Seremban malam tadi.
Dalam perkembangan sama, Ismail turut ditanya mengenai dakwaan pihak pembangkang bahawa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 26 November ini tidak akan dapat berlangsung sekiranya notis persidangan tidak dikeluarkan dalam tempoh 28 hari.
Bagaimanapun, beliau memilih untuk tidak mengulas perkara itu dan meminta supaya tumpuan diberikan kepada sambutan Deepavali terlebih dahulu.
“Tak apalah, kali ini kita raikan Deepavali dulu,” katanya.
Sementara itu, kerajaan negeri memperuntukkan RM70,000 bagi penganjuran Karnival Deepavali tahun ini.
Ismail berkata, peruntukan berkenaan turut disalurkan kepada masyarakat India di kawasan luar bandar termasuk Paloh dan Lui bagi membolehkan program sumbangan kepada golongan memerlukan dilaksanakan.
Mengulas cadangan mewartakan kawasan Little India, beliau berkata perkara itu akan dibincangkan secara terperinci bersama Datuk Bandar.
Menurutnya, cadangan berkenaan membabitkan kawasan tambahan kira-kira 100 hingga 400 meter daripada kawasan asal dan berpotensi dijadikan sebagai tarikan pelancongan. – KOSMO! ONLINE
















