GEORGE TOWN – Seorang wanita cekal berdepan dengan penyakit kanser payudara dihadapinya sejak 2024 meskipun terpaksa melalui pelbagai cabaran fizikal dan emosi kerana tahu dia perlu bertanggungjawab terhadap nyawa yang diamanahkan Tuhan.
Ainur Natasha Roslan, 38, berkata, dia perlu bangkit untuk menyayangi dirinya sendiri kerana kanser bukanlah penamat kepada kehidupan.
Pengurus pasar raya di Bertam itu berkata, dia belajar mengurus emosi dan tidak membiarkan kesedihan menguasai dirinya.
“Menjalani rawatan kemoterapi sebanyak lapan kali diikuti pembedahan dan radioterapi mengajar saya perjuangan itu menuntut ketahanan mental yang tinggi.
“Kemoterapi membuatkan kita penat, hilang tenaga, rambut gugur, kening dan bulu mata juga tiada. Ada masa tidak berdaya, menyusahkan orang dan perlukan perhatian,” katanya kepada Kosmo!
Menurut Ainur Natasha, macam-macam yang dia fikir ketika hendak membuang sebelah payudara termasuk adakah suaminya masih boleh menerima keadaannya dan masihkah ada peluang untuk mendapatkan cahaya mata.
Tambahnya, kaedah terbaik sebagai pejuang kanser adalah melalui persahabatan dengan pesakit barah lain yang dikenali ketika mendapatkan rawatan.
“Kita boleh berkongsi apa yang dirasai tanpa perlu menjelaskan semuanya. Ada yang sudah bertahun-tahun menjadi pejuang kanser dan pengalaman mereka banyak membantu saya,” katanya.
Ujar Ainur Natasha, pemikiran positif membentuk reverse psychology terhadap dirinya sendiri, iaitu mengubah cara berfikir supaya tidak terus terperangkap dalam kesedihan.
“Bukan bermaksud kita tidak boleh menangis atau berasa sedih. Kita manusia biasa, tetapi jangan biarkan perasaan itu menghalang kita daripada mendapatkan rawatan dan meneruskan kehidupan,” katanya.
Menurut Ainur Natasha, dia berjumpa kawan, keluar minum kopi atau meluangkan masa dengan suami walaupun menahan sakit.
Dalam pada itu, Ainur Natasha menyeru orang ramai supaya tidak takut menjalani pemeriksaan awal sekiranya mengesan sebarang perubahan pada payudara, selain mendapatkan nasihat perubatan dan tidak menangguhkan rawatan.
Katanya, pesakit kanser tidak seharusnya dilabel sebagai terlalu beremosi atau berdrama.
“Kadang-kadang kita senyum dan ketawa bukan sebab kita tidak sakit, tetapi itulah cara kita memujuk diri supaya terus kuat. Paling penting, sayangi diri sendiri, teruskan usaha dan jangan putus harapan,” katanya.















