fbpx
Tangkap layar luahan MA berkenaan di Threads.

Saya cucuk penuh kasih sayang – MA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – “Saya cucuk dengan penuh kasih sayang, tetapi tetap salah.”

Demikian luahan seorang penolong pegawai perubatan (MA) di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang selepas tindakannya mengambil darah seorang kanak-kanak dikecam dalam media sosial.

Kontroversi tercetus selepas seorang pengguna Threads memuat naik gambar penolong pegawai itu melakukan prosedur pengambilan darah seorang kanak-kanak sebelum mempersoalkan kelayakan petugas kesihatan terbabit.

“Ni ke? Hospital besar macam HTAR ambil budak tak habis belajar lagi untuk cucuk ambil darah,” tulisnya.

Tidak mahu terus menjadi sasaran kecaman, pengguna dikenali sebagai ameel_syahmeel yang mengakui dirinya MA terlibat tampil menjelaskan situasi sebenar.

Katanya, dia tidak mengetahui kesalahan yang dilakukan kerana prosedur itu sudah dilaksanakan dengan berhati-hati walaupun berdepan kesukaran mendapatkan kerjasama kanak-kanak terbabit.

Malah, dia menjelaskan branula sudah berjaya dimasukkan ke dalam urat sebelum dia mahu memastikan alat itu terpasang kemas supaya tidak tercabut.

“Saya staf yang berbaju hijau yang mencucuk tangan anak itu. Saya tidak tahu mana kesalahan saya. Mungkin dia lebih pakar dalam memasukkan branula itu. Saya dah cucuk dengan penuh kasih sayang walaupun budak banyak kerenah. Lagi satu, budak bukannya dapat beri kerjasama macam orang dewasa. Orang dewasa pun menahan kesakitan apabila dicucuk.

“Branula itu pun sudah cantik masuk urat. Cuma ketika itu saya mahu memastikan branula tersebut terpasang kemas supaya tidak tercabut. Tetapi tetap salah juga. Tidak tahu bagaimana hendak buat supaya sempurna,” katanya.

Luahan itu mendapat perhatian seorang pengguna @maariah_qibtiah yang mengaku dirinya doktor dan tampil memberikan sokongan kepada MA berkenaan.

“Jangan risau dan down (sedih). Saya sebagai doktor pun, anak saya lebih percaya MA ambil darah dia daripada mak dia sendiri,” katanya.

Seorang lagi pengguna, Tissdeel yang mengakui dirinya seorang ibu turut berkongsi pengalaman berdepan kesukaran ketika menjalani prosedur memasukkan branula ketika mengandung.

“Saya pun yang mengandung nak masukkan branula pun sampai dua nurse tak masuk, tukar tangan pun masih tak dapat,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor memaklumkan pihak pengurusan HTAR memandang serius insiden ketidakpuasan hati membabitkan waris pesakit dan petugas kesihatan di Zon Kecemasan Kanak-Kanak pada 2 November lalu.

Menurut kenyataan itu, siasatan dalaman telah dijalankan dan tindakan penambahbaikan diambil bagi memperkukuh komunikasi serta memastikan respons yang segera, prihatin dan profesional terhadap keperluan pesakit dan waris.

“HTAR menghargai maklum balas masyarakat dan komited untuk memastikan perkhidmatan kesihatan disampaikan dengan penuh hormat, ihsan dan profesionalisme,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN