GINIE LIM (empat dari kiri) bergambar bersama penduduk Bukit Bulat yang terletak dalam DUN Machap Jaya di Melaka baru-baru ini.

Ginie Lim kembali dengan pengalaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Menyelesaikan isu laluan yang terperangkap dalam birokrasi selama hampir 20 tahun dalam tempoh kurang dua tahun menjadi bukti calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Unda­ngan Ne­geri (DUN) Machap Jaya, Datuk Ginie Lim Siew Lin bukan sekadar kembali untuk menabur janji kosong.

Berbekalkan rekod kerja nya­ta dan pengalaman luas dalam pentadbiran negeri serta sektor pelaburan industri, Ginie kembali mempertaruhkan keupayaan demi merungkai isu legasi tanah, perumahan dan ekonomi setempat yang masih membelenggu penduduk.

Beliau mengakui terdapat penduduk yang membangkitkan semula isu yang belum sempat diselesaikannya ketika berkhidmat dahulu namun melihat teguran itu sebagai tanggungjawab untuk memastikan setiap perkara diberikan tindakan susulan.

“Ada juga penduduk yang membangkitkan semula masalah lama, termasuk perkara yang belum sempat saya selesaikan ketika berkhidmat dahulu. Saya akui perkara itu dan faham mereka mahu melihat hasil.

“Saya kembali bertanding de­ngan pengalaman serta hubu­ngan kerja yang lebih luas untuk meneruskan usaha tersebut, di samping memastikan penduduk dimaklumkan tentang perkembangannya,” katanya ketika ditemui.

Menurut Ginie, penerimaan masyarakat sepanjang kempen cukup baik apabila penduduk di kampung, kawasan ladang dan Felda tampil berkongsi panda­ngan, masalah setempat serta harapan mereka untuk tempoh lima tahun akan datang.

Mengimbas rekod perkhidmatannya, beliau berkata, antara usaha yang pernah dilaksanakan ialah menyelaraskan kerjasama agensi kerajaan bagi menyiapkan jalan penghubung sepanjang lebih satu kilometer dari Kampung Melaka Pindah ke kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keroh dalam tempoh kurang dua tahun.

“Ia menyelesaikan masalah laluan yang berlarutan hampir 20 tahun, memudahkan penduduk berulang-alik ke tempat kerja dan membuka ruang kepada pembinaan rumah di sepanjang laluan berkenaan,” katanya.

Selain itu, beliau turut membantu penyelarasan bantuan kebajikan terus ke akaun bank penerima bagi mengurangkan keperluan warga emas dan ahli keluarga beratur di pusat khidmat serta menguruskan rayuan berkaitan tanah pertanian dan pelanjutan pajakan tanah kediaman.

Ginie berkata, khidmat kebajikan dan kemasyarakatan bersama pasukannya tetap dite­ruskan walaupun beliau tidak dicalonkan pada 2021 termasuk mengekalkan kerjasama dengan rakan-rakan di peringkat setempat.

Ujarnya, pengalaman berkhidmat di Invest Melaka memberi­nya pendedahan kepada pembangunan industri, pelaburan dan latihan tenaga kerja, ter­masuk penyertaannya dalam ­delegasi kerajaan negeri ke Institut Jerman-Malaysia pada 2023 bagi meninjau peluang kerjasama latihan kemahiran.

Beliau turut menyatakan kese­diaan membentangkan perancangan secara terbuka apabila mengundang dua lagi calon Ma­chap Jaya untuk berdialog me­ngenai pembangunan kawasan itu bagi tempoh lima tahun akan datang supaya pengundi dapat menilai cadangan masing-masing.

“Saya berharap pengundi menilai saya berdasarkan kemam­puan menyelesaikan masalah, kesungguhan membuat susulan dan bagaimana pengalaman yang saya kumpulkan boleh membawa hasil yang nyata kepada Machap Jaya,” tambahnya.

 

Selesai isu tanah, perumahan jadi keutamaan calon PH

MELAKA – Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Ne­geri (DUN) Machap Jaya, Datuk Ginie Lim Siew Lin mahu memastikan masalah pemilikan tanah di kawasan Felda, Projek Rumah Generasi Kedua di Felda Hutan Percha serta status tanah yang diusahakan pekebun kecil berhampiran empangan mendapat jalan penyelesaian dan hala tuju yang jelas.

Katanya, beliau mahu bekerjasama dengan penduduk dan agensi berkaitan bagi menyusun maklumat setiap kes, mengenal pasti punca kelewatan serta memastikan tindakan susulan dibuat secara teratur dengan perkembangan dimaklumkan kepada penduduk.

CALON PH berazam untuk memberi perhatian kepada kebajikan warga emas di dalam DUN Machap Jaya.

Beliau juga mahu menghubungkan latihan kemahiran dengan peluang pekerjaan sebenar melalui program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Kira-kira 20 peratus pengundi Machap Jaya berusia bawah 30 tahun, iaitu sekitar 4,000 orang, jadi saya mahu mereka mendapat maklumat tentang keperluan industri melalui karnival kerjaya serta program TVET.

“Saya juga mahu membantu petani dan peniaga kecil me­ningkatkan hasil serta meluaskan pasaran melalui perusahaan kecil dan sederhana serta agro­teknologi selain memperluas juga peluang latihan, pekerjaan dan perniagaan untuk golongan wanita,” katanya.

Pada masa sama, beliau memberi perhatian kepada kebajikan warga emas yang tinggal bersendirian, penduduk sakit dan ahli keluarga yang menjaga mereka menerusi kerjasama agensi kebajikan, pertubuhan setempat serta sukarelawan.

Bagi kemudahan asas, katanya, penyelenggaraan jalan, lampu jalan dan kemudahan masyarakat perlu dilaksanakan secara berperingkat selain meneliti cadangan penduduk supaya sebuah stesen minyak diwujudkan lebih dekat dengan kawasan penempatan mereka. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN