CARDIFF, WALES – Sekumpulan penyelidik merungkai misteri berusia lebih empat abad selepas menemukan kombinasi kod bagi mangga loyang milik kapal karam terkenal, Ann Francis tanpa perlu merosakkan artifak berkenaan, lapor halaman berita People Science.
Kejayaan tersebut dicapai oleh pakar dari Universiti Cardiff bersama Muzium Kebangsaan Wales menerusi teknologi imbasan mikro-tomografi berkomputer (mikro-CT) resolusi tinggi, sekali gus menamatkan teka-teki gabungan empat huruf yang terkunci sejak tahun 1583.
Penyelidik Biomekanik Universiti Cardiff, David Williams berkata, teknologi imbasan 3D itu membolehkan pasukannya melihat struktur mekanikal dalaman mangga secara terperinci.
“Bukan setiap hari kita berpeluang menyelesaikan misteri berusia 400 tahun.
“Melalui imej 3D mekanisme dalaman, saya dapat melihat bagaimana takuk-takuk kecil sejajar dengan huruf untuk mengenal pasti kombinasi tepat,” katanya dalam satu kenyataan.
Hasil analisis mengesahkan kombinasi bagi membuka mangga kunci tersebut ialah A-N-C-E.
Kapal dagang Ann Francis dilaporkan karam di pesisir pantai Wales pada 28 Disember 1583 ketika meredah ribut kencang dalam perjalanan pulang dari Sepanyol.
Tragedi itu meragut nyawa kesemua kira-kira 14 anak kapalnya. – AGENSI
















