PETALING JAYA – Selepas enam tahun bekerja keras, tarikh 24 Oktober lalu menjadi detik paling manis buat kumpulan wanita popular, Dolla, melakar pencapaian tersendiri apabila membawa muzik pop Malaysia ke pentas Eropah menerusi penampilan sulung di Paris, Perancis.
Dolla yang dianggotai Angel, Sabronzo dan Tabby mempersembahkan 12 lagu, antaranya UGLY, Impikan, Bad dan lagu belum dilancarkan, All Over You dalam persembahan di The A Music Festival di Paris Event Centre disaksikan hampir 2,000 penonton, termasuk peminat dari Perancis, United Kingdom, Jerman dan Itali.
Sabronzo berkata, kemesraan dan sokongan penonton yang pertama kali menyaksikan persembahan mereka secara langsung menjadi pengalaman paling mengesankan.
“Apa yang paling mengejutkan saya ialah kemesraan dan sokongan mereka yang begitu kuat. Tenaga mereka sangat menular sampai saya betul-betul tak mahu persembahan itu berakhir. Rasanya sangat istimewa apabila disambut dengan begitu mesra di tempat yang jauh dari rumah,” katanya.
Mereka turut bergandingan dengan Tobii menerusi lagu Bad Girls Like You.
Angel pula menyifatkan peluang beraksi di Eropah sebagai pencapaian besar selepas enam tahun berusaha mengukuhkan kedudukan dalam industri muzik.
“Perasaan ini memang luar biasa dan peluang yang sangat bermakna buat kami. Selepas enam tahun berusaha dan bekerja keras, akhirnya berpeluang membuat persembahan di pentas Eropah buat kali pertama terasa seperti satu pencapaian yang sangat besar. Saat ini pasti akan sentiasa kami kenang,” katanya dalam kenyataan.
Angel turut mengingati detik penonton menyalakan lampu telefon ketika sebuah lagu dipersembahkan, meskipun ada yang belum pernah mendengarnya atau tidak memahami bahasa lagu berkenaan.
Sementara itu, Tabby berkata, dia sangat bangga dengan sambutan penonton yang amat luar biasa selain kejayaan persembahan berkenaan hasil persediaan rapi bersama seluruh pasukan.
“Saya sangat bangga dengan kami dan pasukan kerana berjaya menjayakan persembahan yang hebat selepas mencurahkan segala usaha dan tenaga untuk membuat persiapan. Ini yang pertama dan semoga akan ada banyak lagi selepas ini,” katanya.
The A Music Festival berlangsung selama dua hari dengan menghimpunkan artis muzik pop Asia Tenggara dan Korea Selatan. Dolla menjadi satu-satunya kumpulan dari Malaysia yang membuat persembahan pada hari pertama bersama JASP.ER, 4EVE dan Tobii dari Thailand, TRENDZ dan Jacob dari Korea Selatan serta ALAMAT dari Filipina.
















