Manifesto BN-PN tawar 113 inisiatif untuk orang Melaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

AYER KEROH –  Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menerusi manifesto bersama menawarkan sebanyak 113 inisiatif merangkumi enam teras utama, termasuk 20 komitmen khusus yang menyentuh secara langsung kehidupan rakyat bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengerusi BN Melaka yang juga Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh berkata, manifesto bertemakan ‘Membina Masa Depan Melaka, Memakmurkan Negara’ itu dirangka dengan mengambil kira keperluan kira-kira 687,697 pengundi di negeri ini.

“Manifesto ini merangkumi pelbagai aspek penting termasuk perumahan, kos sara hidup, pendidikan, peluang pekerjaan, kebajikan rakyat, pertumbuhan ekonomi serta keperluan pembangunan negeri. Daripada keseluruhan 113 inisiatif yang digariskan, sebanyak 20 komitmen utama diberikan penekanan khusus kerana mempunyai kaitan langsung dengan keperluan kehidupan seharian rakyat.

“Untuk makluman semua, sebanyak enam teras utama digariskan dengan mengetengahkan 113 inisiatif yang ditawarkan kepada kira-kira 687,697 pengundi di negeri Melaka.

“Daripada keseluruhan inisiatif terbabit, 20 komitmen utama diberikan penekanan khusus kerana mempunyai kaitan langsung dengan keperluan kehidupan harian rakyat.

“Bagi memahami maksud komitmen ini, kita perlu melihatnya bukan sekadar sebagai angka atau senarai program, tetapi melalui keperluan masyarakat pada setiap peringkat kehidupan,” katanya ketika melancarkan Manifesto BN-PN bagi PRN Melaka, di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, manifesto bersama itu mengambil kira realiti kehidupan masyarakat daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang, termasuk warga emas yang memerlukan penjagaan serta sokongan dalam meniti usia.

Beliau berkata, keperluan semasa rakyat perlu diberikan perhatian, namun pada masa sama kerajaan negeri juga perlu bersedia menghadapi cabaran masa depan yang semakin kompleks.

“Inilah antara realiti kehidupan yang menjadi pertimbangan dalam merangka manifesto bersama ini.

“Pada masa yang sama, kita tidak boleh mengetepikan persediaan menghadapi cabaran masa depan, termasuk perubahan ekonomi, kemajuan teknologi, peluang pekerjaan baharu dan tuntutan pembangunan yang semakin kompleks,” katanya.

Ab Rauf berkata, pengenalan manifesto bersama BN-PN itu turut memperlihatkan pendekatan kedua-dua gabungan dalam menyelaraskan agenda pembangunan dan kebajikan rakyat menerusi satu dokumen dasar bersama.

“Saya yakin, kerjasama BN dan PN dapat diterjemahkan melalui pelaksanaan yang teratur, pengurusan yang bertanggungjawab dan hasil yang benar-benar membawa manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN