PETALING JAYA – Sejak menyertai Talk To My Manager musim kedua (TTMM2), nama Azeva Natassha terus menjadi perhatian ramai sehingga ada segelintir netizen mula mencadangkan namanya menyertai kumpulan wanita popular, Dolla.
Perbincangan tersebut hangat diperkatakan dalam platform media sosial selepas kemunculan Azeva atau nama lengkapnya Wan Azeva Natassha Wan Aminuddin, 25, dalam program realiti yang berjaya memperkenalkan bakatnya kepada rakyat Malaysia.
Ramai berpendapat Azeva memiliki pakej lengkap sebagai seorang penghibur termasuk penampilan, keyakinan diri serta pesona di atas pentas yang menarik perhatian penonton.
Dalan ruangan komen media sosial, ada yang berpendapat Azeva sesuai untuk mengisi kekosongan dalam kumpulan Dolla yang kini bergerak sebagai trio selepas pengunduran bekas anggotanya, Syasya Rizal pada 2024.
“Menarik juga kalau Azeva TTMM2 sertai kumpulan Dolla. Gabungan Azeva bersama Sabronzo, Tabby dan Angel mencerminkan imej Dolla,” komen netizen.
Ramai yang bersetuju dengan kenyataan tersebut dan memuji gambar suntingan yang mempamerkan Azeva bersama tiga anggota Dolla yang lain.
Menurut netizen, kehadiran Azeva bakal melengkapkan kumpulan Dolla yang sebelum ini dianggoti oleh empat wanita jelita dan bergaya.
Pun begitu, ada juga netizen yang kurang senang dengan cadangan tersebut. Menurut mereka, Azeva mampu berdiri sebagai penyanyi solo dan tidak perlu sertai Dolla yang sinonim dengan imej seksi.
Dalam perkembangan lain, Azeva berjaya melangkah ke peringkat suku akhir TTMM2 selepas hampir tersingkir pada konsert minggu ketujuh malam tadi
Namun dia diselamatkan oleh imuniti penaja rancangan TTMM2 iaitu Eskayvie. – KOSMO! ONLINE














