KLUANG – Seorang wanita warga emas berhadapan detik cemas selepas melihat seorang lelaki berkulit gelap berada di dalam rumahnya ketika pulang daripada kelas mengaji al-Quran kelmarin.
Bagaimanapun, wanita berumur 67 tahun itu gagal mengenal pasti lelaki berkenaan yang bertindak melarikan diri dengan bertindak memanjat tembok rumah sebaik menyedari kepulangannya.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, sebelum kejadian itu, wanita yang tinggal seorang diri di kediamannya di Taman Purnama, Simpang Renggam menyedari telah dimasuki dipercayai individu sama pada Selasa ketika keluar untuk menunaikan solat subuh pada pukul 5.35 pagi.
Katanya, sebelum keluar mangsa telah memastikan kediaman jenis teres satu tingkat lot tepi itu berada dalam keadaan berkunci, bagaimanapun, apabila pulang semula ke rumah pada pukul 8.30 pagi, mangsa menyedari dua unit kamera litar tertutup (CCTV) yang diletakkan bersebelahan televisyen dan di bahagian dapur telah hilang.
Jelasnya, pemeriksaan lanjut dalam bilik tidur turut mendapati beberapa beg tangan milik mangsa berada dalam keadaan berselerak akibat diselongkar.
“Pada keesokannya, kediaman mangsa sekali lagi dimasuki apabila suspek kira-kira pukul 1 petang semasa mangsa keluar menghadiri kelas mengaji selepas mendapati kunci mangga pada jeriji pintu hadapan telah tiada.
“Ketika mangsa menolak pintu kayu dan menjengah ke dalam rumah, seorang lelaki berkulit gelap yang tidak dikenali tiba-tiba keluar melalui pintu berkenaan sebelum bertindak memanjat tembok rumah untuk melarikan diri,” katanya melalui kenyataan hari ini.- KOSMO! ONLINE














