PETALING JAYA – Hasrat seorang wanita untuk berehat selepas pulang bekerja bertukar kejutan apabila mendapati rumahnya dimasuki beberapa ekor monyet yang bertindak menyelongkar barangan di dalam kediamannya.
Menerusi perkongsian pengguna Threads, @syamimieakhmall, wanita itu memaklumkan monyet berkenaan dipercayai memasuki rumahnya menerusi tingkap yang tidak dikunci dengan rapat.
Bagaimanapun, dia bersyukur kerana kucing peliharaannya berada dalam keadaan selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.
Dia turut mengakui sedikit terkilan kerana baru sahaja membeli barangan keperluan dapur sebelum kejadian berlaku.
“Yang tanya macam mana dia boleh masuk, dia masuk ikut tingkap, sebab kunci tingkap tak rapat. Monyet ni bijak dia tarik buka tingkap, syukurlah kucing okey tiada luka apa. Saya anggap ini ujian Allah mungkin makanan atau barang itu ada yang rosak dan bukan rezeki saya, walaupun sebenarnya saya baru je beli barang dapur,” kongsinya.
Perkongsian tersebut mendapat perhatian netizen yang rata-rata bersimpati dengan nasib wanita berkenaan, selain berkongsi pengalaman pernah berdepan kejadian sama.
“Seramnya dia masuk dari tingkap. Dah lah baru-baru ini ada kes bayi kena cakar dengan monyet sampai terbelah muka dia,” komen @szuhaila_azmin.
“Bertambah sakit hati, perompak yang ini tak boleh ‘report’ polis,” tulis @zacnuriz pula.
Seorang pengguna @cinthekiutest turut berkongsi pengalaman apabila rumahnya pernah dimasuki monyet sehingga telur yang baru dibeli dipecahkan.
“Saya pernah kena. Dah la baru beli barang dapur masa tu. Telur semua dia pecahkan. Lepas tu siap bawa botol rempah saya,” katanya.
“Allahuakbar. Traumanya. Tak boleh bayangkan kalau saya berada di tempat awak. Semoga Allah gantikan dengan rezeki yang lebih baik,” komen @cik.irah2911. – KOSMO! ONLINE














