KUALA LUMPUR -“Tujuh anak sudah cukup, sekarang bagi peluang untuk saya berehat dan bercinta balik dengan bini.”
Demikian seloroh vokalis rock legenda, Datuk Awie mengenai keinginan sekiranya ada perancangan untuk menambah cahaya mata selepas genap sedekad melayari bahtera perkahwinan bersama isterinya, Datin Sharifah Ladyana Syed Shamsuddin.
Genap sedekad melayari bahtera rumah tangga bersama isteri tercinta, Awie juga mengakui fasa kehidupan mereka kini tertumpu sepenuhnya kepada kebahagiaan keluarga tanpa sebarang perancangan untuk menambah cahaya mata lagi.
Bagi pemilik nama Ahmad Azhar Othman, 58, tujuh orang anak yang dimiliki hasil perkahwinan terdahulu dan bersama Ladyana sudah cukup melengkapkan hidupnya, sekali gus memberi ruang buat mereka berdua menikmati masa berkualiti seperti pasangan bercinta.
“Harapannya, kita nak bahagia sahaja. Saya nak kerja, besarkan pendekar dua itu (Putra Ahmad Andeeka dan Putra Ahmad Arjunna), habiskan sekolah Qasseh (Putri Qasseh Antasha) dan Rezzki (Putra Ahmad Rezzki). Alhamdulillah, itu saja.
“Tujuh (anak) dah cukup. Bagi peluang untuk saya berehat, bercinta balik dengan ‘bini’ (isteri). Banyak pengorbanan yang kita lakukan. Insya-Allah yang mendatang ini saya nak enjoy dengan keluarga,” katanya berseloroh sewaktu ditemui pada majlis sambutan ulang tahun ke-10 perkahwinannya yang berlangsung meriah, malam tadi.
Mengulas penganjuran majlis istimewa yang mengambil masa dua bulan perancangan tersebut, vokalis kumpulan Wings itu menyifatkan sebagai tanda penghargaan tertinggi buat segala pengorbanan isteri dalam menguruskan keluarga sepanjang 10 tahun mereka hidup bersama.
“Saya buat ini kerana mengenangkan pengorbanan isteri saya 10 tahun, jaga anak-anak saya selama tempoh itu,” ujarnya yang mendoakan ikatan perkahwinan mereka kekal hingga ke akhir hayat.
Suasana majlis menjadi bertambah syahdu dan bermakna apabila ketujuh-tujuh cahaya mata Awie termasuk dari perkahwinan terdahulu bersama Arni Nazira dan Rozana Misbun iaitu Putri Aleeya Antasha, 26; Putri Aleefa Antasha, 24; Putra Ahmad Merrah, 19; Putra Ahmad Rezzki, 18; Putri Qasseh Antasha, 16; Putra Ahmad Andeeka, 6; serta Putra Ahmad Arjunna, 2, tampil bersatu di atas pentas menitipkan ucapan penghargaan penuh emosi buat pasangan yang bernikah di Songkhla, Thailand pada 2016 itu.
Dalam majlis sama, Awie turut membuat kejutan istimewa dengan menghadiahkan barangan kemas kepada Ladyana bersempena sambutan hari lahir isterinya yang ke-39 pada 22 November. Tidak hanya majlis ulang tahun perkahwinan dan kelahiran isteri, Awie sendiri turut menerima kejutan sambutan hari jadi yang disambut dua hari awal daripada tanggal hari jadinya pada 24 November. Sungguh, November menjadi bulan cinta buat pasangan sejoli itu.
Malam penuh bermakna itu juga diserikan dengan sambutan ulang tahun ke-11 Wings Motor Gang Society (WMGS), komuniti permotoran yang diasaskan atas semangat persaudaraan serta kecintaan terhadap muzik Wings. Pada majlis sama, aktor Beto Kusyairy dilantik sebagai duta sepanjang hayat kelab berkenaan.Â
Bermula daripada pertemuan peminat selepas Konsert Wings 30 pada tahun 2012, komuniti ini berkembang menerusi aktiviti tunggangan dan konvoi sebelum ditubuhkan secara rasmi pada tahun 2015 di Tadom Hills Resort, Selangor. – KOSMO! ONLINE














