Pengurusan Bayu Somerset bersama para tetamu bergambar pada majlis pelancaran outlet baharu di Melaka.

Bayu Somerset sasar 32 cawangan, buka outlet ke-27 di Melaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Jenama fesyen tempatan, Bayu Somerset terus agresif memperluas rangkaian perniagaan dengan menyasarkan 32 cawangan menjelang akhir 2026, selepas pembukaan butik terbaharu di AEON Mall Bandaraya Melaka yang merupakan outletnya yang ke-27.

Ketua Pemasarannya, Dania Kamalul berkata, pengembangan rangkaian fizikal itu didorong keyakinan terhadap potensi pasaran bagi fesyen tradisional moden, serta permintaan pelanggan terhadap koleksi persalinan wanita dan keluarga yang ditawarkan.

Menurutnya, meskipun jualan dalam talian terus menunjukkan sambutan menggalakkan, pembukaan butik fizikal penting bagi membolehkan pelanggan merasai kualiti fabrik, mencuba sendiri rekaan serta mendapatkan pengalaman membeli-belah secara langsung.

“Usaha memperluas pengaruh jenama ini menyaksikan pembukaan cawangan terbaharu di AEON Mall Bandaraya Melaka, yang juga menjadi hab buat pencinta busana istimewa dengan elemen kraf tradisional, tekstil, perayaan dan objek budaya yang segar serta kontemporari.

“Bayu Somerset mengangkat seni sebagai identiti utama dan memperkukuh pendekatan kreatif yang menggabungkan elemen seni, permainan warna dan keselesaan sambil menitikberatkan penampilan luaran serta keselesaan pemakai,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, pembukaan cawangan di Melaka turut mengukuhkan kehadiran jenama itu di pasaran Selatan Semenanjung, selepas mengembangkan rangkaian ke Johor Bahru serta pembukaan butik di Kuching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah.

Bayu Somerset ditubuhkan pada 2021 ketika pandemik Covid-19 dan ia kini berkembang daripada perniagaan fesyen dalam talian kepada jenama yang mempunyai rangkaian butik di seluruh negara.

Cawangannya di AEON Mall Bandaraya Melaka menawarkan hampir 200 rekaan termasuk pakaian wanita daripada saiz XXS hingga 5XL, kemeja lelaki, pakaian kanak-kanak, selendang, pewangi kediaman, aksesori serta barangan eksklusif lain. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN