HULU TERENGGANU – Seorang guru lelaki berusia 48 tahun direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata suspek ditahan polis kira-kira pukul 3 petang pada Sabtu lalu selepas satu laporan berhubung kejadian itu diterima pada 19 November lalu.
Ujarnya, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa menghadiri sebuah program anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) di sebuah premis penginapan kursus di Kuala Telemong, di sini.
“Susulan laporan itu, polis menahan suspek berusia 48 tahun pada Sabtu lalu bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Sharudin berkata, permohonan reman terhadap suspek telah dibenarkan selama tujuh hari sehingga 28 November ini.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak.
“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan hukuman sebat,” katanya. -KOSMO! ONLINE














