KULAI – Niat baik seorang lelaki warga Pakistan untuk membantu sebuah kereta yang mengalami kerosakan berakhir tragedi selepas dia maut, manakala dua lagi cedera dalam nahas empat kenderaan di Kilometer 33.6, Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan pagi tadi.
Kejadian pada pukul 5 pagi itu melibatkan masing-masing sebuah kereta Produa Myvi, kenderaan pelbagai guna (MPV) Naza Citra dan Toyota Alphard serta sebuah lori.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, siasatan awal mendapati kejadian bermula apabila kereta Produa Myvi yang datang dari arah utara menuju ke Johor Bahru telah mengalami kerosakan dan berhenti di lorong kecemasan.
Jelasnya, dalam masa sama, Naza Citra yang dipandu lelaki warga Pakistan berusia 41 tahun berhenti di hadapan kereta Produa Myvi untuk membantu.
“Ketika mangsa dan penumpang Naza Citra yang juga warga Pakistan serta pemandu Myvi turun dari kenderaan masing-masing, sebuah lori yang dipandu seorang lelaki datang dari arah sama dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar belakang Myvi itu.
“Akibatnya, lelaki warga Pakistan itu mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di lokasi, manakala penumpang Naza Citra serta pemandu MyVi cedera di beberapa bahagian badan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Seng Lee lagi, dalam kejadian itu, kereta Toyota Alphard yang dipandu seorang lelaki tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian kanan lori.
Ujarnya, mayat mangsa serta dua yang cedera dibawa ke Hospital Kulai untuk proses bedah siasat dan rawatan.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – KOSMO! ONLINE














