LONDON – Sebentuk cincin berlian milik seorang daripada mangsa terselamat dalam tragedi kapal Titanic berjaya dilelong pada harga £150,000 (RM807,000), lapor PA Media/dpa.
Cincin milik Lucy, Lady Duff Gordon itu dipakainya ketika kapal Titanic karam dalam pelayaran sulungnya pada 15 April 1912, yang mengorbankan kira-kira 1,500 nyawa.
Dikenali sebagai ‘The Titanic Ring’ dalam keluarga Duff Gordon, cincin itu dipercayai merupakan cincin pertunangannya dan satu-satunya barang kemas bernilai miliknya yang terselamat dalam tragedi berkenaan.
Cincin yang diwarisi turun-temurun oleh keluarga itu dilelong di Henry Aldridge & Son di Devizes, Wiltshire semalam.
Lady Duff Gordon bersama suaminya, Sir Cosmo, merupakan penumpang kelas pertama Titanic yang berjaya menyelamatkan diri menggunakan bot penyelamat nombor satu bersama setiausaha mereka, Laura Mabel Francatelli.
Bot berkenaan yang mampu membawa 40 orang diturunkan dengan hanya 12 individu, termasuk tujuh anak kapal.
Sementara itu, sekeping tiket khas untuk melawat Titanic pada hari kapal itu berlepas dari Southampton pada 1912 turut dilelong pada harga £40,000 (RM215,000).
Sekeping poskad yang ditulis oleh ketua pengendali komunikasi tanpa wayar Titanic, Jack Phillips, yang membantu mendapatkan bantuan daripada kapal lain ketika tragedi itu pula dijual pada harga £32,000 (RM170,000). – BERNAMA














