Lampu hijau menerangi Hospital Shah Alam sebagai tanda penghargaan terhadap Allahyarham Ahmad Sobri (gambar kecil) susulan keputusan keluarganya bersetuju mendermakan organ.

‘Empat bulan sebelum ‘pergi’, hang cari semula semua rakan lama’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Siapa sangka usaha seorang lelaki menghubungi semula rakan-rakan lamanya sejak beberapa bulan lalu, termasuk sanggup meredah hujan lebat untuk bertemu mereka, seolah-olah menjadi petanda bahawa dia bakal pergi buat selama-lamanya.

Itu antara kenangan terakhir yang dikongsikan seorang lelaki dikenali sebagai Najib Fazail terhadap sahabatnya, Allahyarham Ahmad Sobri Ishak, 32, yang meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan di Shah Alam, Khamis lalu.

Menerusi perkongsian di Threads, Najib meluahkan rasa sebak mengenangkan persahabatan mereka yang terjalin selama 20 tahun, selain tidak menyangka pertemuan bersama Allahyarham sebelum ini menjadi antara kenangan terakhir mereka.

Menurutnya, sejak empat hingga lima bulan lalu, Allahyarham yang sebelum ini sibuk bekerja di Pulau Pinang mula menghubungi semula rakan-rakan lamanya di Kedah dan Lembah Klang.

“Bri, patutlah empat hingga lima bulan sebelum ini hang hubungi semula semua kawan-kawan. Sebelum ini hang sibuk bekerja di Pulau Pinang. Kawan-kawan lain ramai di Kedah dan Lembah Klang.

“Dari Pulau Pinang, hang naik motosikal balik Kedah jumpa kawan-kawan di sana. Hang naik motosikal datang Kuala Lumpur sebab nak jumpa kawan-kawan di sini pula. Rupanya hang bagi petanda dekat kami,” katanya.

Lebih menyentuh hati, Najib berkata, Allahyarham pernah sanggup meredah hujan lebat semata-mata mahu bertemu mereka di sebuah kedai makan sehingga tiba dalam keadaan basah kuyup.

“Waktu malam kita nak jumpa itu, hang sanggup redah hujan lebat. Sampai dekat kedai makan basah lencun.

“20 tahun persahabatan kita. Merata dah kita pergi sekali. Semalam kami tengok balik gambar-gambar kenangan ke Langkawi, futsal, majlis buka puasa. Ditakdirkan hang pergi dulu tinggalkan kami,” luahnya.

Katanya, antara kenangan yang tidak dapat dilupakan adalah mesej terakhir Allahyarham dalam kumpulan perbualan mereka yang mengandungi tulisan ‘2014’ berserta gambar ketika menghantarnya ke Perancis bagi menyambung pengajian.

Dalam hantaran sama, Najib turut memaklumkan Allahyarham mengalami kemalangan pada Khamis lalu sebelum dikejarkan ke Hospital Shah Alam untuk menerima rawatan lanjut.

Bagaimanapun, Allahyarham yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) kemudian disahkan mengalami kematian otak.

Menurut Najib, lampu hijau di Hospital Shah Alam turut dinyalakan sebagai tanda penghargaan kepada Allahyarham susulan pendermaan organ.

“Berehatlah sahabat di negeri abadi. Allah muliakan pemergian hang. Seluruh Malaysia dan dunia doakan hang.

“Moga pendermaan organ ini jadi pahala berkekalan buat hang. Syurga tempatmu sahabat,” katanya.

Sementara itu, kakak Allahyarham yang menggunakan nama Husnaa Ishak di Threads turut berkongsi detik pilu apabila mengetahui adik kandungnya sendiri merupakan mangsa kemalangan yang sedang diperkatakan di media sosial.

Menurutnya, dia pada mulanya terbaca beberapa hantaran mengenai kemalangan tersebut sebelum gambar kad pengenalan mangsa dikongsikan dalam kumpulan WhatsApp penduduk kawasan berkenaan.

“Tengah hari semalam sedang membaca Threads, terbaca mengenai kemalangan ini. Nampak juga dua tiga hantaran bercakap mengenai kemalangan yang sama.

“Tidak lama kemudian, dalam kumpulan WhatsApp penduduk ada orang kongsi gambar kad pengenalan penunggang motosikal tersebut. Tidak sangka rupanya adik sendiri yang kemalangan di situ.

“Lembik lutut rasa masa itu. Menggigil satu badan. Tidak sampai satu minit selepas baca, ada orang tekan loceng rumah. Mereka sedang mencari waris mangsa,” katanya.

Husnaa berkata, dia kemudian meminta suaminya berurusan dengan individu yang datang ke rumah sebelum mereka bergegas ke Hospital Shah Alam.

Dalam perkongsian terdahulu, Husnaa memaklumkan doktor memberitahu bahawa adiknya mengalami pendarahan otak yang banyak selain keretakan pada tempurung kepala.

Difahamkan Allahyarham meninggalkan isteri dan seorang anak berusia empat tahun.

Solat jenazah Allahyarham dijadualkan berlangsung di Masjid An Naim, Jalan Kebun, Shah Alam selepas zuhur hari ini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Johan Setia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN