JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegur pengurusan Larkin Sentral susulan keadaan fasiliti uzur, tandas kotor dan penyelenggaran terabai bertahun-tahun di premis itu semasa lawatan mengejut semalam.
Tanpa berselindung lagi Onn Hafiz berkata,“ Itu pun saya kena ajar?,” katanya kepada pihak pengurusan sambil meluahkan rasa kecewa terhadap keadaan fasiliti di situ.
Beliau melakukan pemeriksaan mengejut pada pukul 8.30 pagi semalam ekoran aduan awam yang diterima semakin meningkat di media sosial, menyebabkan Onn Hafiz bersemuka dengan pengurusan Larkin Sentral.
Katanya, antara aduan yang diterima ialah lif rosak, keadaan tandas kotor sehingga anak pokok boleh tumbuh walaupun pelanggan dikenakan bayaran masuk 0.50 sen.
“Jangan berlakon ya, sebab saya datang baru nak bersihkan,” katanya sambil mempersoalkan mengapa kerja penyelenggaraan hanya dilakukan apabila beliau turun padang.
Tambah beliau, apabila seorang peniaga diminta membuka bidai kedai sepenuhnya, Onn Hafiz dimaklumkan ia sudah rosak selama bertahun-tahun, mencetuskan persoalan mengapa dibiarkan tanpa sebarang tindakan.
Penumpang dan pengunjung turut meminta Onn Hafiz mengadakan lawatan dengan kerap, kerana ia dapat membantu mempercepatkan kerja-kerja pembaikan yang sudah lama tertangguh
Sebahagian daripada mereka mengadu kawasan tingkat atas tidak sesuai untuk perniagaan, manakala lif pula kerap rosak dan kerja pembaikan eskalator belum siap. Pemandu teksi juga mengambil peluang mengadu mengenai permukaan jalan di terminal itu yangrosak teruk dan berlubang.
Onn Hafiz turut memeriksa kawasan longkang yang tersumbat dan mempersoalkan sudah berapa lama sampah sarap dibiarkan di situ.
“Benda yang kena repair (baiki), repair lah,” katanya, sambil menegaskan penyelenggaraan asas tidak sepatutnya memerlukan campur tangan berulang kali.
“Tak nampak ke kotor? Ini maruah kita,” katanya merujuk kepada keadaan terminal serta kepentingannya sebagai pintu masuk ke Johor Bahru.
Oleh itu, beliau mengarahkan Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) dan pengurusan Larkin Sentral segera membaiki fasiliti yang rosak, menaik taraf tandas, menyediakan bangku tambahan di kawasan mengambil dan menurunkan penumpang serta memasang lebih banyak pendingin hawa mudah alih di ruang menunggu. – KOSMO! ONLINE














